Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 25 August 2014

MH17 : Anak menangis lihat keranda ibu


Mohamad Hasan (lima dari kiri) melihat Muhriz Marzaidi menyiram air mawar pada pusara ibunya, Mastura Mustafa di Tanah Perkuburan Islam Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

SEREMBAN 22 Ogos - Anak lelaki pramugari kanan Malaysia Airlines (MAS) MH17, Mastura Mustafa, Muhriz Marzaidi, 10 ditenangkan berapa kali oleh ahli keluarga selepas dia dilihat amat sedih sebaik sahaja mendekati keranda yang menempatkan arwah ibunya di Masjid At Taqwa Paroi dekat sini.

Dia dilihat menangis teresak-esak berdekatan keranda arwah ibunya sebelum dipujuk beberapa kali oleh ahli keluarga terdekat serta anggota tentera yang berada di situ.

Ketika suasana itu dirakam jurugambar Utusan Malaysia, Abd. Razak Aid di masjid berkenaan hari ini, Muhriz masih dilihat mengesat air mata dalam beberapa minit.

Bagaimanapun Muhriz tidak dapat ditemubual kerana kesedihan.

Dalam pada itu, bapa Mastura, Mustafa Ab. Samad, 83, berkata, dia bersyukur jenazah anaknya itu dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paroi, dekat sini.

"Saya reda dengan ketentuan ini dan amat bersyukur kerana jenazah anak perempuan saya ini dapat dibawa pulang dan dikebumikan di sini. Inilah harapan kami sekeluarga selepas dimaklumkan mengenai tragedi yang berlaku itu.

"Saya bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan selepas berusaha membawa pulang jenazah anak saya dan yang lain. Saya memohon seluruh rakyat mendoakan arwah anak perempuan saya ini ditempatkan dalam kalangan orang beriman,'' ujarnya sambil sesekali mengesat air mata.

Sementara itu, suami Mastura, Mohamed Affendi, 43, semasa ditemui memberitahu, dia bersyukur selepas doa dipermudahkan urusan membawa pulang jenazah arwah isterinya itu dimakbulkan Allah.

"Apa yang penting jenazah selamat sampai ke tanah air dan selamat dikebumikan. Memang inilah permintaan ahli keluarga sebelum ini,'' katanya.

Turut berada di masjid dan tanah perkuburan itu ialah 12 rakan sekolah yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (KGV), Seremban dekat sini.

Sementara itu jenazah Mastura, 40, selamat dikebumikan pada pukul 3.29 petang ini selepas selesai solat Jumaat dan solat jenazah.

Solat jenazah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan negeri, Datuk Mohd. Yusof Ahmad itu turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ribuan umat Islam sebelum dibawa menaiki kenderaan jenazah tentera dari Kem 1 Briged ke tanah perkuburan berdekatan.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berkenan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah di masjid itu serta memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Mastura.

Sebelum jenazah diusung oleh anggota tentera dari 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Senawang dan 24 Rejimen RAMD Rasah pada pukul 2.11 petang ini, keluarga Allahyarham diberi peluang memberikan penghormatan terakhir di ruang utama masjid.

Sebelum itu, khutbah khas solat Jumaat bertajuk 'Kesabaran Pusat Kekuatan' disampaikan Imam Eksekutif Masjid berkenaan, Ahmad Naim Azlan.

Sementara itu, lebih 2,000 orang bersama-sama mengiringi jenazah Mastura.

Mohamad yang ditemui pemberita di tanah perkuburan itu berkata, kerajaan negeri akan membantu keperluan anak arwah.

"Kebajikannya akan diberi perhatian sebaiknya. Kerajaan negeri amat berharap anak arwah bersabar, begitu juga ahli keluarga lain ketika menempuh saat sukar ini,'' katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri ini berkabung dan menzahirkan kehibaan atas ketibaan jenazah mangsa tragedi yang menyayat hati ini.

"Kita bersyukur istiadat pengebumian dan penghormatan negara ke atas jenazah berjalan lancar dan penuh ketertiban,'' katanya.

Terdahulu, kakitangan kerajaan dan orang ramai di Wisma Negeri dan Wisma Persekutuan di sini turut bertafakur selama seminit.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_14/Anak-menangis-lihat-keranda-ibu#ixzz3BMsXghl6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: