Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
NORIAH Daud (tiga, kiri) ibu kepada pembantu juruterbang pesawat MH17, Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi tidak dapat menahan kesedihan semasa memegang keranda jenazah anaknya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya kelmarin. - BERNAMA
Tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH 17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu belum selesai walaupun sebahagian daripada mangsa rakyat negara ini dibawa pulang Jumaat lalu. Tragedi itu mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal dan menjadi tumpuan dunia apabila pesawat itu terhempas di kawasan yang dikuasai oleh pemisah pro-Rusia di Ukraine. Ini membuatkan pasukan penyelamat antarabangsa tidak mendapat akses memasuki kawasan konflik.
Ini bukan tragedi pesawat terhempas yang disebabkan oleh masalah teknikal. Sebaliknya pesawat ini menjadi mangsa apabila melalui ruang udara kawasan konflik yang melibatkan Rusia, Ukraine dan tidak terkecuali Amerika Syarikat (AS) yang menyokong Ukraine yang berkonflik dengan Rusia. Fasa pertama yang sangat mencabar untuk mengeluarkan semua mangsa yang terkorban dari kawasan konflik dan kotak hitam yang disimpan oleh puak pemisah berjaya dilakukan tanpa insiden yang tidak diingini. Tanpa diduga tragedi ini membawa Malaysia terseret dalam konflik antarabangsa bukan sahaja kerana MH 17 milik negara ini tetapi 43 mangsa yang terkorban juga rakyat Malaysia.
Kita tidak ada pilihan kecuali menjadi pemain utama untuk menembusi fasa pertama mengeluarkan mangsa dari kawasan konflik walaupun Belanda tidak lepas tangan kerana banyak rakyatnya turut terkorban. Tragedi yang tercatat dalam sejarah industri penerbangan antarabangsa ini, dunia tentunya tidak dapat menafikan sumbangan besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berjaya mengadakan rundingan langsung menerusi telefon dengan ketua pemisah Alexander Borodai, dan bersetuju membenarkan pasukan penyelamat dan forensik memasuki kawasan konflik.
Tentunya tanpa diplomasi Najib dan pendirian Malaysia yang berkecuali dalam isu antarabangsa yang melibatkan Rusia, Ukraine dan AS, sudah pasti harapan untuk membawa pulang jenazah mangsa terlalu tipis. Najib telah merintis fasa pertama yang cukup sukar serta penuh risiko. Ini adalah permulaan fasa-fasa seterusnya yang tidak kurang cabaran serta banyak halangan terutama untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan.
MH 17 adalah maruah negara ini. Memperjuangkan keadilan kepada mangsa adalah tanggungjawab Malaysia. Walaupun fasa seterusnya belum bermula tetapi kerajaan tidak boleh berlengah-lengah untuk meneliti ruang yang ada dalam undang-undang bagi mendakwa penjenayah yang membunuh semua penumpang MH 17. Memang ini suatu yang sangat rumit dan sukarnya berganda. Tetapi kita tidak ada pilihan untuk memulihkan pandangan dunia kepada Malaysia. Fasa pertama yang kita saksikan Jumaat lalu sedikit sebanyak memulihkan pandangan dunia selepas pesawat MH 370 hilang dan tidak dapat dikesan sejak 8 Mac lalu.
Tragedi kehilangan misteri MH 370 telah menjejaskan nama negara di mata dunia. Sekalipun kerajaan dan agensi yang terlibat bertungkus-lumus merungkai misteri ini serta melibatkan banyak negara lain, sehingga kini masih seperti hari pertama: tidak ada satu pun petanda yang boleh dikaitkan dengan MH 370. Bagaimanapun negara dan rakyat wajar berbangga dengan pendekatan Najib berunding dengan ketua puak pemisah yang Rusia dan Ukraine sendiri tidak dapat melakukannya.
Malang yang bertimpa-timpa; kehilangan MH 370, kerugian paling besar yang dialami oleh MAS ketika ini dan tragedi MH 17 ditembak jatuh sedikit sebanyak mengganggu dan menjejaskan semangat rakyat yang prihatin kepada negaranya. Kehilangan MH 370 membuka ruang untuk dunia mempersoalkan sistem pertahanan dan keselamatan negara ini apabila sebuah pesawat sebesar itu boleh hilang tanpa sebarang petanda. Kerugian yang berterusan dan hampir melumpuhkan MAS juga memberikan kesan yang bukan kecil kerana dunia akan mempersoalkan ketidakcekapan kita menguruskan syarikat penerbangan milik negara.
Maka dalam konteks ini MH 17 menjadi suatu yang sangat penting bagi Malaysia memperlihatkan kemampuan untuk menguruskan satu jenayah bertaraf antarabangsa, didalangi pula oleh kuasa besar serta kelicikan mereka menghapuskan bukti. Pada masa sama kita tidak boleh menafikan banyak teori yang dianggap konspirasi melibatkan kuasa besar tertentu sebagai tangan ghaib yang mengatur insiden ini.
Melanggar prinsip
Sebenarnya tindakan menembak jatuh pesawat MH 17 merupakan satu perbuatan bertentangan serta melanggar prinsip yang dipersetujui dalam Konvensyen Chicago yang diiktiraf Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Resolusi 1067 (1996). Bagaimanapun kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak mempunyai bidang kuasa menjalankan pendakwaan terhadap penjenayah kerana Malaysia dan Belanda menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab. Tambahan pula bidang kuasa ICC hanya melibatkan insiden jenayah perang serta tiada negara yang terlibat ingin melakukan pendakwaan.
Begitu juga bidang kuasa Mahkamah Keadilan Dunia (ICJ) yang hanya melibatkan pertelingkahan antara dua negara dan bukannya insiden seperti MH 17. Bagaimanapun penjenayah tetap boleh dihadapkan ke muka pengadilan melalui undang-undang negara ini iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Dalam soal ini pendirian Malaysia adalah jelas iaitu mahu mendakwa penjenayah di negara ini dengan menggunakan akta tersebut.Kes ini menjadi tanggungjawab Malaysia kerana melibatkan harta milik negara.
Dari sisi lain MH 17 telah menjadi kajian kes kepada industri penerbangan antarabangsa tentang perlunya pesawat komersial dilengkapi peralatan penangkis peluru berpandu. Malaysia mesti memainkan peranan penting dan menonjol dalam pelan anjakan kepada badan penerbangan antarabangsa tentang perlunya penangkis peluru berpandu ini. Malaysia mesti dilihat sebagai pejuang yang memastikan nyawa penumpang pesawat komersial di seluruh dunia dilindungi dengan melobi penggunaan penangkis peluru berpandu.
Tragedi MH 17 sebenarnya telah membuka mata pemain-pemain utama industri penerbangan dunia tentang undang-undang PBB yang melarang pesawat komersial dilengkapkan dengan penangkis peluru berpandu. Hal ini dikemukakan oleh dua badan utama dalam industri penerbangan iaitu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam mesyuarat di Montreal, Kanada berikutan tragedi MH 17.
Setiausaha Agung ICAO, Raymond Benjamin dan Pengarah IATA, Tony Tyler membuat desakan bersama supaya pesawat komersial dibenar untuk dilengkapkan dengan senjata anti peluru berpandu dengan mengambil tragedi MH 17 sebagai satu kajian kes yang melibatkan orang awam. Tony Tyler misalnya menekankan bahawa MH 17 telah membuktikan tentang peri pentingnya pesawat komersial dilengkapkan dengan senjata anti peluru berpandu, bukan untuk berperang tetapi menjaga keselamatan penumpang yang terdiri daripada orang awam.
Walau apa sekalipun tragedi ini ada hikmahnya, setidak-tidaknya kepada industri penerbangan yang melibatkan berjuta-juta nyawa penumpang. Sekiranya MH 17 dilihat sebagai titik tolak untuk menilai semula undang-undang antarabangsa yang melarang penangkis peluru berpandu, ini juga satu hikmah. Ia memberi keyakinan kepada kita bahawa fasa-fasa seterusnya mampu ditangani dengan tenang tanpa hilang matlamat asal membawa semua penjenayah ke muka pengadilan. Jalannya tetap ada walaupun jauh dan berliku.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140824/re_01/MH17-fasa-pertama-meyakinkan#ixzz3BNHTbX4k © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment