Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 25 August 2014

MH17 : Sayu dan hiba selubungi Kompleks Bunga Raya


Anggota tentera mengusung keranda jenazah dalam Istiadat Penghormatan Jenazah Warga Malaysia MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA, Sepang, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

SEPANG 22 Ogos - Suasana sayu dan hiba menyelubungi Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebaik sahaja pesawat khas MH6129 yang membawa 20 jenazah rakyat Malaysia MH17 memasuki pekarangan kompleks tersebut tepat pukul 10.06 minit pagi selepas selamat mendarat di KLIA pada pukul 9.54 pagi.

Masing-masing terutama di pihak ahli keluarga jelas tidak mampu menahan air mata apabila jenazah yang mereka tunggu-tunggu selama ini akhirnya selamat pulang ke tanah air.

Sememangnya kepulangan semua jenazah tersebut amat dinanti-nantikan oleh setiap ahli keluarga mangsa yang begitu sabar menunggu meskipun tragedi tersebut telah berlalu lebih sebulan lalu.

Keadaan itu berlaku disebabkan pelbagai cabaran serta kekangan terpaksa dihadapi oleh Kerajaan Malaysia pada peringkat awal ekoran lokasi pesawat tersebut terhempas merupakan kawasan yang dikuasai oleh pemberontak pro-Rusia.

Pesawat tersebut terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lalu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan dipercayai telah ditembak.

Walau bagaimanapun selepas usaha keras dibuat melalui hubungan diplomatik dengan beberapa kerajaan termasuk langkah berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung terus dengan ketua pemberontak, Alexander Borodai, akhirnya kumpulan pertama 20 jenazah rakyat Malaysia MH17 berjaya diterbangkan ke tanah air hari ini.

Selain keluarga mangsa, pembesar serta kepimpinan negara yang hadir pada majlis Istiadat Penghormatan Jenazah Warga Malaysia MH17 hari ini juga tidak mampu menyembunyikan perasaan sedih mereka terutama ketika jenazah mula diturunkan dari pesawat diusung ke dalam van jenazah.

Jenazah yang mula-mula diturunkan ialah anak kapal, Allahyarham Mastura Mustafa dan Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi (kru teknikal), kemudian Allahyarham Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (anak kapal) serta Allahyarham Nur Shazana Mohamed Salleh (anak kapal), diikuti dengan 16 jenazah yang lain.

Kepulangan 20 jenazah itu melibatkan sembilan anak kapal dan 11 penumpang.

Perasaan sebak di kompleks itu semakin dirasai apabila tiba waktu bertafakur selama seminit yang bermula tepat pukul 10.55 pagi iaitu selepas selesai upacara pengusungan kesemua jenazah.

Sementara itu, 450 anggota tentera daripada 12 Briged Infantri terlibat sebagai pengusung kepada 20 jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di wilayah Donetsk, timur Ukraine 17 Julai lalu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Dua puluh jenazah rakyat Malaysia itu diletakkan di dalam 17 keranda dan tiga bekas abu dilitupi dengan Jalur Gemilang sebagai tanda penghormatan kerajaan kepada mereka.

Sementara itu pesawat khas MH6129 berkenaan dikendalikan oleh Kapten Datuk Misman Leham, Kapten Bakri Othman, Kapten Zaim Khalid dan pegawai penerbangan, Yap Yoon Kong.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_02/Sayu-dan-hiba-selubungi-Kompleks-Bunga-Raya#ixzz3BMdHggPk  © Utusan Melayu (M) Bhd 





No comments: