Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 25 August 2014

MH17 : 'Mayat arwah semuanya elok'

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
dan JUANI MUNIR ABU BAKAR

BAPA Allahyarham Nur Shazana, Mohd. Salleh Shamsuddin sebak ketika menyiram air mawar ke pusara anaknya sambil diperhatikan oleh isteri, Sharom Ibrahim (kanan) di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/NOOR AZLINA JAAFAR

PUTRAJAYA 22 Ogos - Menerima jasad anak dalam keadaan sempurna merupakan satu kelegaan buat ibu bapa salah seorang anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Nur Shazana Mohamed Salleh.

Menurut ibu kepada pramugari itu, Sharom Ibrahim (gambar), 57, walaupun hanya melihat jasad arwah melalui gambar sahaja, namun ia sudah cukup untuk memberikan kelegaan kepada keluarganya.

Dia berkata, penantian lebih sebulan untuk mengetahui keadaan jenazah anak sulungnya itu akhirnya terjawab.

"Hanya suami saya sahaja melihat jenazah anak, dia ada ambil gambar dan menunjukkan kepada saya, tetapi itu sudah cukup sebenarnya.

"Keadaan mayat arwah semuanya elok cuma pada giginya sahaja (mungkin patah), tiada apa-apa yang dapat saya katakan lagi. Semua telah berakhir," katanya dengan nada sebak.

Sharom ditemui pemberita selepas majlis pengebumian jenazah Allahyarham Nur Shazana di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20 di sini hari ini.

Turut dikebumikan di tanah perkuburan yang sama ialah jenazah kru teknikal pesawat MH17, Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi.

Kedua-dua jenazah itu tiba di sini pada pukul 1 petang dan kemudian dikebumikan sebelum Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Hazarudin Baharudin membaca talkin dan tahlil.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Albakri.

Sementara itu, bapa Nur Shazana, Mohamed Salleh Shamsuddin, 54, berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya.

Dia yang tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui menyifatkan anaknya itu merupakan seorang yang tidak suka menyusahkan orang lain.

Sementara itu bapa kepada Allahyarham Ahmad Hakimi berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan MAS kerana membantu dalam penghantaran dan pengurusan jenazah anaknya sehingga dikebumikan.

Dr. Hanapi Mohd. Noor, 67, memberitahu, dia dan isteri Allahyarham, Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Juneid, 29, berasa lega kerana jenazah selamat dikebumikan pada pukul 3 petang ini.

Allahyarham Ahmad Hakimi, 29, merupakan anak kedua daripada empat beradik meninggalkan Sharifah Asma'a dan seorang anak lelaki berusia lapan bulan, Abderrahman.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_21/Mayat-arwah-semuanya-elok#ixzz3BN9aF2SR  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: