Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 20 August 2014

Kursi Institusi Raja-Raja Melayu; Ingatan Sultan Kedah

Oleh Zaini Hassan

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

Memartabatkan institusi raja-raja Melayu

SAYA kini berada di Genting Highlands, sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang sudah mulai hilang kedinginannya.

Bukan makan angin, tapi terlibat dalam satu diskusi yang saya kira amat penting.

Ia adalah bengkel pemikir penubuhan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu yang akan diwujudkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bukan mudah untuk membentuk sebuah kursi atau pusat bagi institusi seumpama ini. Apa justifikasinya ditubuhkan pusat seumpama itu?

Selepas lebih 500 tahun institusi raja-raja Melayu wujud, masih relevankah institusi itu? Pada masa dinasti raja China yang termasyhur pun sudah runtuh, mengapa perlu dipertahankan kesultanan Melayu ini?

Dalam mencari satu hala tuju kita harus melihat juga kepada realiti-realiti semasa ini juga.

Apakah orang Melayu masih lagi mahu terus bernaung di bawah singgahsana raja-raja sampai bila-bila?

Mengapa sudah ada pihak yang mulai berani - secara terbuka - mengkritik institusi raja-raja?

Apakah ia berkaitan dengan komponen pokok institusi itu sendiri iaitu bangsa Melayu.

Tanpa Melayu, tiadalah raja-raja. Tiada raja-raja tiadalah Islam. Ia berkait antara satu sama lain.

Jika Melayu lemah, maka akan wujudlah ruang yang akan digunakan oleh golongan oportunis untuk meresapkan falsafah mereka.

Jika kita alpa maka mudahlah unsur-unsur ini untuk menyerap ke dalam sistem saraf kita.

Kesedaran semula harus dilonjakkan. Raja-raja Melayu harus terus dimartabatkan. Harus diperkasakan. Ingatlah banyak iktibar yang boleh dilihat dalam kemelut politik Selangor, misalnya.

Akhirnya semua pihak akur dengan kekuasaan raja yang menjadi kuasa penentu kepada sistem kerajaan seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan.

Selama beberapa tahun ini, golongan oportunis ini menggunakan pelbagai taktik saraf untuk mengecilkan peranan dan kuasa raja-raja Melayu.

Menjunjung kasih Tuanku al-Sultan Selangor yang menunjuk jalan kepada ketegasan dalam menangani krisis kepemimpinan kerajaan naungan Tuanku.

Rakyat, pelbagai pihak sedang memerhati senario ini dengan penuh minat. Tuanku harus terus tegas dan kelihatan tegas dalam hal ini. Patik sedar puak oportunis itu sedang merangka strategi baru bagi menghentam institusi Tuanku.

Mereka sanggup menggunakan bangsa Tuanku sendiri untuk menentang Tuanku.

Oleh kerana itulah tercetusnya kursi ini. Ia akan digunakan secara intelektual, ilmiah, berhemah, beradab untuk berkongsi dengan rakyat mengenai fungsi dan peranan institusi itu kepada negara ini.

Pada masa cabaran sosiopolitik dan budaya serta geopolitik dan ekonomi semakin berkembang dan berubah, begitu juga dengan institusi diraja Melayu ini.

Kursi ini akan berperanan mengkaji situasi itu secara profesional, praktikal, serius dan holistik.

Ia akan mengambil kira persekitaran yang semakin berubah dan pemikiran manusia yang semakin berkembang.

Ingatlah Jepun adalah contoh sebuah negara maju yang masih mempertahankan kedaulatan institusi monarkinya dengan begitu baik. Begitu juga di England serta beberapa negara lain.

Rakyat Malaysia harus ditanamkan dengan kefahaman yang mendalam mengenai institusi itu. Semua bangsa yang bernaung di negara harus faham bahawa raja-raja Melayu adalah ketua negara ini.

Mereka juga harus faham mengenai susur-galur sejarah raja-raja Melayu. Jangan kita biarkan sejarah kita ditukar atau diubah seperti di sesetengah negara.

Saya cukup teruja apabila Naib Canselor UiTM menyatakan bahawa kursi yang akan diwujudkan itu akan menjadi benteng terakhir bagi mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.

Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kursi itu akan menjadi sebuah pusat penyelidikan ilmiah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kedudukan institusi itu.

"Kini terdapat rakyat yang menggunakan akal fikiran secara logik menganggap golongan raja tidak lagi relevan.

"Justeru, kajian serta penyelidikan yang khusus mengenai raja-raja Melayu perlu dijalankan secara intelektual dan ilmiah bagi mempertahankan institusi itu, sekaligus memantapkannya," katanya semasa merasmikan bengkel pemikir penubuhan kursi itu di sini hari ini.

Bengkel tiga hari itu turut dihadiri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini, para ilmuan, serta pemimpin pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM).

Bengkel dikendalikan bersama oleh UiTM dan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Menurut Dr. Sahol Hamid, peranan institusi kesultanan di negara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, dan selagi kerajaan Malaysia tidak beralih sebagai republik, institusi raja-raja akan terus wujud di negara ini.

Antara objektif utama penubuhan kursi itu ialah: Untuk memberi kesedaran dan kefahaman yang tepat kepada masyarakat; Bertindak sebagai pusat rujukan Kesultanan Melayu; Menjelaskan mengenai wasiat raja-raja Melayu yang menjadi nadi kepada roh semangat Melayu dalam jiwa masyarakat.

Serta, menjelaskan peranan raja-raja Melayu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan dan kedudukan orang-orang Melayu tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan kaum-kaum lain.

Sebagai rakyat yang cintakan negara ini, semua pihak harus menyokong usaha ini.

Raja-raja Melayu ialah tulang belakang negara ini mengatasi institusi politik. Dan institusi itu wajib dipertahankan.

Daulat Tuanku!

Ingatan Tuanku Sultan Kedah kepada pemimpin...

PADA 11 Ogos 2014 bersamaan 15 Syawal 1435H Sultan Kedah bertitah merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kedua.

Saya ingin memetik titah baginda yang perlu direnungi semasa Tuanku mengakhiri titah itu (ulasan lanjut akan saya tulis minggu depan):

Ia adalah berkisar mengenai ingatan Tuanku kepada para pemimpin. Jelaslah fungsi raja-raja Melayu amat penting. Walaupun tidak secara langsung, namun kiasan tuanku cukup mendalam.

Ahli-Ahli Dewan

Janganlah bumi yang kita pijak dan langit yang kita junjung pada hari ini menjadi milik orang lain.

Peliharalah negeri dan negara ini dengan sebaik-baiknya supaya kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi ini dapat dipertahankan selama-lamanya.

Janganlah jadi ibarat kelapa condong, buahnya sentiasa dikutip orang. Apabila kita bersengketa antara kita dan tamak haloba, maka kita sanggup mengamalkan rasuah hingga menjual maruah bangsa dan agama. Akibatnya anak cucu kita akan menderita berabad lamanya, ibarat Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sebagai akhir kata, Beta ingin memetik kata-kata oleh Bapak Tenas Effendi, seorang pujangga Melayu tersohor masa kini:

Pemimpin itu ialah:

Yang diberikan kepercayaan

Yang diberikan kekuasaan

Yang diberikan beban berat

Yang diberi tanggungjawab

Yang diikat janji dan sumpah

Yang disimpai petua amarah.

Pada hemat Beta, sesuai dengan pesanan pujangga Melayu; para pemimpin itu harus,

Memakai syarak lahir dan bulan

Imannya kebal adatnya kental

Takwanya nampak

Ilmupun banyak

Berdada lapang

Berfikiran panjang.

Sebagai penutup kata, Beta sentiasa berdoa agar Allah menganugerahkan kita keadaan aman dan damai dan mendatangkan manfaat di dunia dan di akhirat. Beta merakamkan bagi semua pihak dengan bait-bait dari "Gurindam Dua Belas" karangan Yang Mulia Raja Ali Haji pujangga Melayu terkenal pada zaman Kesultanan Melayu Riau pada akhir Abad ke-19, dengan ingatan:

Raja muafakat dengan menteri

Seperti kebun berpagar duri

Hukum adil atas rakyat

Tanda raja beroleh inayat

Kasihkan orang yang berilmu

Tanda rahmat atas dirimu

Ahli-Ahli Dewan adalah pemimpin dan wakil kepada rakyat. Jalankanlah tanggungjawab dengan sebaiknya.

Beta berpesan agar tanggungjawab ini tidak diremehkan malah mesti dibuat dengan penuh amanah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140820/re_06/Kursi-Institusi-Raja-Raja-Melayu-Ingatan-Sultan-Kedah#ixzz3Au2vEGXc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: