Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my
Johari Abdul Ghani, Nazir Hussin Akhtar Hussin
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kerajaan dicadang mewujudkan undang-undang mirip Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikhaskan untuk memantau salah laku pengguna media sosial berikutan peningkatan kes penghinaan yang dibuat menerusi platform berkenaan sejak kebelakangan ini.
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu bagi memastikan individu yang bertanggungjawab mempromosikan sentimen kebencian kaum dan agama diheret ke muka pengadilan dengan berkesan sekali gus mencegah penularan gejala berkenaan.
Kata beliau, kebebasan yang ditawarkan oleh kepesatan Internet membawa pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat dan perlu wujud satu mekanisme yang baik untuk penguatkuasaan.
"Pada saya, teras kepada semua ini adalah penguatkuasaan undang-undang dan usaha perlu dilipat gandakan oleh semua pihak untuk menangani gejala ini daripada terus merosakkan keharmonian negara," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Dalam mesyuarat yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu, beberapa usul melibatkan pembangunan perumahan, media sosial, perpaduan dan gejala perjudian dibentangkan.
Sementara itu, Johari turut menjelaskan, isu pendakwaan terpilih juga merupakan isu utama yang harus diketengahkan sebagai usul, ekoran kenyataan dan tindakan menghina agama serta orang Melayu melalui media sosial yang semakin membimbangkan.
Sekiranya tidak dipantau katanya, perkembangan itu dikhuatiri menyebabkan huru-hara dan kehancuran terhadap perpaduan kaum di negara ini.
"Kita mendesak polis dan Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan segera terhadap pihak dari kaum mana sekalipun yang menghina agama dan kaum di negara ini," katanya.
Beliau menambah, UMNO Bahagian Titiwangsa juga meminta pihak berwajib memantapkan penguatkuasaan terhadap pusat judi haram dan rumah urut di kawasan Parlimen tersebut.
Kata beliau, pencegahan gejala tersebut adalah perlu memandangkan berlaku peningkatan kes jenayah kecil akibat kewujudan pusat-pusat judi dan rumah urut berkenaan.
"Menyedari bahawa kecelaruan dalam pengawalan dan pencegahan bagi menghapuskan perjudian dan maksiat di negara ini, maka kita mendesak pihak berwajib mengubah paradigma masyarakat dan menambah baik undang-undang berkaitan perkara tersebut," tegasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, sudah tiba masanya kerajaan menolak usaha atau pembangunan perumahan bernilai tinggi.
Jelasnya, perkara itu tidak mencerminkan agenda kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat khususnya golongan muda memiliki rumah persendirian di kawasan Parlimen tersebut oleh agensi-agensi kerajaan seperti UDA Holdings yang dipertanggungjawabkan.
"Pemuda mencadangkan pembangunan yang bakal diusahakan UDA Holdings di Kampung Baru membabitkan pembinaan perumahan untuk golongan profesional Melayu bernilai lebih RM400,000 dikaji semula.
"Kajian semula ini perlu memandangkan keadaan itu tidak mencerminkan kecenderungan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada pengundi-pengundi Parlimen Titiwangsa yang berpendapatan sederhana dan rendah," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140818/dn_07/Syor-wujudkan-peraturan-mirip-ISA#ixzz3Anv6mOzH © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment