Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 25 August 2014

Kumpulan kedua jenazah MH17 tiba esok - TPM


Muhyiddin Yassin (tengah) bersama pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri Johor mengadakan tahlil sebelum menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah untuk mangsa tragedi MH17, Mohd. Ali Md. Salim di Masjid Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh, semalam. - BERNAMA

PAGOH 22 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menjangkakan dapat membawa pulang kumpulan kedua jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 pada Ahad ini.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Perdana Menteri, jumlah jenazah yang akan dibawa pulang masih belum diketahui dan ketika ini proses mengenal pasti mangsa sedang dilakukan di Amsterdam, Belanda.

"Semua waris akan kita beritahu dalam masa terdekat. Setakat ini nama penuh belum dapat disahkan lagi.

"Bagi yang lain (penumpang MH17 yang belum dikenal pasti), pihak berkuasa di Belanda sedang berusaha melakukan ujian untuk mengenal pasti jenazah seterusnya," katanya ditemui selepas upacara pengebumian jenazah salah seorang mangsa MH17, Mohd. Ali Md. Salim di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Saharudin Md. Salleh dan ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed.

Mohd. Ali yang merupakan antara 20 jenazah kumpulan pertama mangsa nahas itu yang dibawa pulang hari ini.

Mangsa merupakan calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.

Muhyiddin berkata, walaupun ketibaan kumpulan kedua jenazah pada Ahad ini bukan lagi Hari Perkabungan Negara, kesedihan dan kedukacitaan atas tragedi itu akan terus dikongsi sehingga semuanya selesai.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan telah berjanji akan melakukan yang terbaik bagi mendapatkan baki jenazah yang masih belum dikenal pasti dan akan diurus sebaik mungkin sebelum dibawa balik ke Malaysia dan akan diberi sambutan dan penghormatan yang sama.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hari ini merupakan Hari Perkabungan Negara yang dirasai seluruh rakyat Malaysia dan semuanya bersatu padu dalam keaadaan sedih, hiba dan bertafakur bersama-sama.

Terdahulu, jenazah Mohd. Ali tiba di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh pada pukul 12.10 tengah hari yang disambut Mohamed Khaled, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim dan barisan pimpinan kerajaan negeri selain kira-kira 3,000 penduduk setempat.

Jenazah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di IKBN yang turut disertai Muhyiddin, Mohamed Khaled dan lebih 500 jemaah sebelum dibawa dan disembahyangkan sekali lagi di rumah keluarga mangsa di Kampung Jayor, di sini.

Menteri Besar turut menyerahkan sumbangan RM10,000 daripada kerajaan negeri kepada bapa mangsa, Md. Salim Sarmo, 65, di rumahnya dengan disaksikan Muhyiddin selain turut menerima sumbangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Jenazah Mohd. Ali kemudian disemadikan bersebelahan pusara datuk saudaranya, Jawat Suradi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, kira-kira lima kilometer dari rumahnya dengan dihadiri lebih 1,000 masyarakat berbilang kaum.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_04/Kumpulan-kedua-jenazah-MH17-tiba-esok---TPM#ixzz3BMeTXdEC  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: