Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 28 August 2014

POLITIK : Rayer mengaku tidak bersalah

Oleh AZELI ALI
azel.ali@utusan.com.my

R.S.N Rayer

PULAU PINANG 27 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebut kata-kata menghasut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan ceramah di Jalan Delima, Island Glades, Jelutong, di sini Mei lalu.

Rayer, 43, daripada parti DAP mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli UMNO dengan melafazkan kata-kata menghasut pada ceramahnya itu.

Rayer yang juga peguam didakwa menyebut kata-kata menghasut ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.

Pelbagai pihak sebelum ini merasakan Rayer sepatutnya didakwa dari dahulu lagi dan meminta supaya kesnya tidak ditangguh.

Malah, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz baru-baru ini meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap Pejabat Peguam Negara yang didakwanya mengamalkan 'pendakwaan terpilih' terhadap mereka yang menghina agama, bangsa dan negara.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, paling ketara adalah dalam kes Rayer yang menggelarkan UMNO celaka.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani yang mengendalikan pendakwaan memohon jaminan RM20,000 atas alasan kes berkenaan merupakan kes berprofil tinggi dan kejadian berlaku di dalam DUN.

Walau bagaimanapun, Gobind Singh Deo yang mengetuai barisan tiga peguam yang mewakili Rayer memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM2,000 atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan Rayer diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Sementara di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, Rayer turut dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama kerana didakwa menyebut kata-kata menghasut dalam ceramahnya di Taman Permainan Kanak-kanak, Jalan Delima, Island Glades, Jelutong di sini pada pukul 10 malam, 22 Mei lalu.

Bagi pertuduhan pilihan pula, Rayer didakwa mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli UMNO dengan melafazkan kata-kata menghasut itu yang boleh memecahkan keamanan awam pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Zaharah Hussain kemudian membenarkan Rayer diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes di kedua-dua mahkamah pada 17 Oktober ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140828/ma_01/Rayer-mengaku-tidak-bersalah#ixzz3BeScYI4M  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: