Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 28 August 2014

POLITIK : Pas akur titah Sultan Selangor

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan ZULKIFLI SAINUDDIN
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pas tidak akan mengikut langkah sekutunya, Parti Keadilan Rakyat Rakyat (PKR) dan DAP yang berkeras mencalonkan satu nama iaitu Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sebaliknya berkata, parti itu akur dengan titah Sultan Selangor dan akan mempersembahkan tidak kurang daripada tiga nama kepada baginda sebagai calon untuk mengisi jawatan tersebut.

"Pas menghormati titah Tuanku (Sultan Sharafuddin) dan kita akan menghantar tidak kurang daripada tiga nama," katanya seperti dipetik menerusi laporan lidah rasmi Pas, Harakahdaily.net hari ini.

Sultan Sharafuddin semalam menitahkan Pas, DAP dan PKR masing-masing mencadangkan lebih dua nama daripada pakatan pembangkang untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

DAP dan PKR bagaimanapun hanya akan menghantar satu nama iaitu Wan Azizah kerana mendakwa keputusan itu sejajar dengan konvensi yang diamalkan dalam pelantikan Menteri Besar Selangor sebelum ini.

Sementara itu, Mustafa berkata, Pas masih menunggu surat makluman rasmi daripada Istana Selangor yang dilaporkan akan dikeluarkan hari ini bagi meminta ketiga-ketiga parti pakatan pembangkang mengemukakan lebih daripada dua calon untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, selepas menerima surat rasmi itu, Pas akan memuktamadkan nama calon yang bakal dipersembahkan mereka dalam jangka masa ditetapkan selain menolak kemungkinan satu mesyuarat baharu perlu diadakan oleh Pas Pusat kerana mereka sudah mempunyai gambaran mengenainya.

"Surat tersebut biasanya ada dinyatakan tarikh akhir. Kita akan respons selepas mendapatnya. Saya tak fikir perlu mesyuarat yang baharu. Kita sudah ada gambaran daripada mesyuarat sebelum ini. Apapun perbincangan tak rasmi kita akan buat untuk mendapatkan pandangan," katanya.

Sementara itu, Mustafa selepas mempengerusikan mesyuarat Pas Selangor di Shah Alam malam ini menegaskan parti itu tidak menuntut jawatan Menteri Besar Selangor apabila memutuskan tidak menghantar nama calon daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas.

Sebaliknya beliau berkata, Pas hanya akan menghantar nama calon Menteri Besar yang baharu daripada kalangan ADUN PKR.

"Kita akan menghantar sekurang-kurangnya tiga nama untuk calon Menteri Besar, tetapi bukan daripada kalangan pemimpin Pas sebaliknya pemimpin PKR. Kita tetap dengan keputusan sebelum ini yang memutuskan untuk tidak menuntut jawatan tersebut," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140828/po_02/Pas-akur-titah-Sultan-Selangor#ixzz3BeF2ZJ3t  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: