Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 25 August 2014

MH17 : Kru kabin MAS berarak 3 kilometer


Sebahagian daripada pramugari MAS bertafakur memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa tragedi pesawat MH17 di hadapan Kompleks Bunga Raya KLIA dekat Sepang, semalam.

SEPANG 22 Ogos - Lebih 200 kru kabin pesawat Malaysia Airlines (MAS) berarak sejauh tiga kilometer dari Bangunan Pengurusan Penerbangan MAS hingga ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka yang terkorban dalam tragedi pesawat MH17.

Semua kru kabin itu yang mula berkumpul di bangunan tersebut sejak pukul 8 pagi, bergerak serentak pada pukul 9 pagi ke kompleks yang menjadi lokasi ketibaan 20 jenazah rakyat Malaysia dari Amsterdam, Belanda sambil membawa bunga mawar putih dan bendera Jalur Gemilang.

Menurut ketua pramugara yang hanya mahu dikenali sebagai MacMillan, tindakan mereka berhimpun di hadapan kompleks tersebut adalah bagi memberi penghormatan terakhir dan berkongsi kesedihan dengan nasib yang menimpa 11 penumpang dan sembilan kru pesawat MH17.

"Kami sangat bersedih dengan tragedi yang menimpa rakan-rakan kami ini malah ada antaranya sudah kami kenal lebih 20 tahun lalu sejak mula berkhidmat dengan MAS.

"Selain berkumpul menunggu mangsa semua penumpang dan kru pesawat ini tiba di sini kami juga akan mengiringi ke tempat pengebumian masing-masing bagi memberi penghormatan terakhir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang mengetuai perhimpunan itu meluahkan perasaan kecewa kerana tidak dapat masuk ke dalam kompleks tersebut bersama kru kabin lain selepas hanya beberapa kru MAS dibenarkan masuk.

Dalam pada itu, menurut salah seorang pramugari MAS, Emilia Abdul Latif, dia berasa sangat sedih dengan kehilangan Nur Shazana Mohamed Salleh yang merupakan seorang rakan baik dan telah dianggap sebagai adik-beradik.

"Saya sangat sedih dengan kehilangan Shazana yang kali terakhir kami bertugas bersama ketika di Perth, Australia. Pada waktu itu dia yang memanggil saya sebagai kakak, dengan nada berseloroh mahu belanja saya makan sebab tidak tahu bila lagi dapat buat macam itu.

"Apabila terkenang kembali kenangan itu, saya sangat sedih malah apabila membayangkan bagaimana pengakhiran pesawat MH17 ditembak jatuh juga sangat menyayat hati kerana waktu itu adalah masa untuk kru kabin berehat selepas selesai melayan penumpang," katanya.

Sementara itu, seorang pramugara, Shazaly Bashah berkata, dia tidak dapat melupakan kenangan bersama Shazana yang juga sama kumpulan dengannya ketika menyertai syarikat penerbangan itu kira-kira 10 tahun lalu.

Katanya, walaupun jarang bertugas bersama, sikap Shazana tetap seperti sebelum ini yang riang dan ceria malah sentiasa disenangi rakan setugas lain.

"Kali terakhir kami bertugas bersama ketika di Stockholm, Sweden dan waktu itu kami juga bersama-sama ke Helsinki, Finland seperti sebuah keluarga malah, dia juga seorang rakan yang sangat baik, ramah dan ceria," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_08/Kru-kabin-MAS-berarak-3-kilometer#ixzz3BMiYQkJg  © Utusan Melayu (M) Bhd 





No comments: