Muhyiddin Yassin, Mohamed Khaled Nordin dan Md.Salim Sarmun (bersebelahan Muhyiddin Yassin) serta orang ramai mendirikan solat jenazah ke atas Mohd. Ali Md. Salim yang diimamkan oleh Mufti Johor,Datuk Taharir Samsuddin di Masjid Al Taqwa IKBN Pagoh dekat,Muar,Johor,semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad
PAGOH 22 Ogos - Keluarga salah seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 melahirkan kelegaan dan bersyukur kerana jenazah Mohd. Ali Md. Salim, 30, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, di sini pukul 3.30 petang ini.
Bapa mangsa, Md. Salim Sarmo, 65, berkata, mereka sekeluarga berpuas hati kerana upacara pengkebumian berjalan lancar walaupun tidak dapat melihat wajah anaknya yang sebelum ini dirancang untuk ditatap, dipeluk dan dicium buat kali terakhir.
"Mengikut perancangan asal kami sekeluarga mahu menatap wajahnya semasa jenazah dibawa balik ke rumah tetapi malam tadi, kami sekeluarga berbincang tentang perkara ini dan membatalkan hasrat itu kerana tidak mahu mengganggu urusan pengkebumian.
"Saya tidak sampai hati mahu tatap wajah Allahyarham dan memadailah kami sekelurga dapat melihat keranda Allahyarham yang dibaluti dengan bendera Jalur Gemilang," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan tersebut.
Terdahulu, jenazah tiba di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh pukul 12.10 tengah hari yang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim dan barisan pimpinan kerajaan negeri selain kira-kira 3,000 penduduk setempat.
Jenazah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di IKBN yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamed Khaled dan lebih 500 jemaah sebelum dibawa dan disembahyangkan sekali lagi di rumah keluarga mangsa di Kampung Jayor, di sini.
Mohd. Ali yang merupakan antara 20 jenazah kumpulan pertama nahas itu yang dibawa pulang hari ini dan adalah calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.
Md. Salim berkata, kemungkinan dia bersama lima ahli keluarga yang lain akan berlepas ke Belanda pada 1 September ini untuk membawa pulang barangan milik Allahyarham dan dijangka berada di negara itu selama seminggu.
Menurutnya, kesemua buku anaknya akan disimpan untuk dijadikan kenangan buat keluarga manakala hasil penyelidikan Allahyarham sepanjang pengajiannya akan diserahkan kepada USM yang membiayai pengajiannya itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Junaidah Kasiran, 62, berkata, mereka sekeluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan semua yang terlibat sehingga berjaya membawa jasad anaknya pulang dan disemadikan di kampung halaman.
Walaupun tidak dapat melihat wajah Allahyarham yang dijadualkan menamatkan pengajiannya selama empat tahun itu pada April tahun depan, mereka tetap berterima kasih kerana urusan membawa jenazah pulang berjaya dilakukan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_10/Keluarga-lega-bersyukur#ixzz3BMkp51pr © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment