THE HAGUE 27 Ogos - Proses mengenal pasti identiti baki mayat warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 kini memasuki fasa sukar dan mencabar.
Anggota Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17, Datuk Dr. Zahari Noh (gambar) berkata, kes itu semakin rumit kerana pakar forensik kini hanya boleh bergantung kepada DNA yang prosesnya mengambil masa panjang.
"Kini di fasa DNA, proses semakin lebih terperinci. Jika wujud padanan cap jari atau DNA, kes boleh diteruskan untuk pengesahan identiti.
"Ia ambil masa lama, boleh juga sekejap. Ada kes terpaksa dikaji semula. Ada yang (ambil masa) satu hari sahaja sudah selesai proses identifikasinya.
"Pakar kini tidak boleh lagi bergantung kepada padanan seperti cap jari tangan atau gigi seperti pengecaman dan identifikasi jenazah lain sebelum ini," katanya di sini.
Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang itu berkata demikian sewaktu temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pakar forensik itu adalah satu-satunya wakil Malaysia dalam Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17 yang ditempatkan di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum dekat sini.
Dr. Zahari menjelaskan, dalam menentukan identiti jenazah, ia perlu melalui proses seperti pengumpulan anggota badan, bedah siasat dan rekonsiliasi (yang melibatkan gabungan pengumpulan anggota badan dan bedah siasat menggunakan teknik padanan cap jari, DNA serta patologi).
Katanya, selesai sahaja proses tersebut, mana-mana kes yang telah dikenal pasti identiti jenazah itu akan dibentangkan ke lembaga.
Jelas beliau, antara tugasnya adalah meneliti setiap kes yang dibentangkan dalam mesyuarat yang diadakan tiga kali seminggu; Isnin, Rabu dan Jumaat untuk tujuan pengenalpastian dan pengesahan identiti.
"Ada tujuh orang di dalam lembaga itu dari pelbagai bidang seperti pendakwa raya dan dari negara lain termasuk Belanda dan United Kingdom.
"Tugas kami adalah bersidang, semak setiap kes, buat presentasi. Apabila semua sudah setuju, baru sahkan identiti jenazah.
"Apabila ada jenazah Malaysia telah dikenal pasti dan disahkan, saya akan memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di sini yang kemudian akan memaklumkan kepada keluarga dan lain-lain lagi," katanya.
Dr. Zahari menarik perhatian, sebaik sahaja jenazah dikenal pasti, pelbagai proses dokumentasi pula diperlukan untuk membawa keluar jenazah ke Rumah Mayat Monuta.
Mengikut Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja dikenal pasti, jenazah adalah milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, jenazah kemudian perlu melalui lima proses penting.
Ini antaranya melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.
Selesainya proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90 kilometer dari Hilversum untuk menjalani urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing.
Ditanya mengenai rungutan sesetengah pihak mengenai kenapa semua jenazah tidak dibawa keluar secara serentak, beliau berkata, setiap proses identifikasi memerlukan masa dan perlu mengharungi pelbagai fasa.
"Umum perlu faham, ada 298 kes dan setiap kali bersidang, cuma 20 kes sahaja dibentangkan. Dari situ, tidak semua yang dikenal pasti adalah warganegara Malaysia.
"Prosedur di sini seperti identifikasi dan autopsi adalah berbeza. Kecepatan proses pengenalpastian mana-mana jenazah bergantung kepada selesainya fasa rekonsiliasi," katanya.
Tegas Dr. Zahari, mana-mana kes jenazah sama ada lengkap atau sebaliknya yang telah selesai melalui proses rekonsiliasi akan dibawa ke lembaga mengikut giliran dan secara rawak.
"Tidak semestinya setiap kali kami bermesyuarat, akan ada kes yang dibentangkan melibatkan jenazah Malaysia.
"Kita tidak tahu mayat dari negara mana yang datang atau kes apa dibentangkan. Malah ada beberapa kes yang ditahan untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah terdapat 180 dari 298 mayat telah dikenal pasti ketika ini.
Dr. Zahari yang telah berkhidmat hampir 27 tahun dalam bidang kesihatan termasuk forensik ini berkata adalah menjadi keinginan dan harapan untuk mengenal pasti dan menemui kesemua mayat warga negara Malaysia dalam kadar segera.
"Walau berdepan kerumitan, saya sering berdoa agar setiap kali mesyuarat, akan ada jenazah dari Malaysia dan dikeluarkan secepat mungkin, barulah lapang dada saya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan sebanyak 31 jenazah rakyat Malaysia telah dikenal pasti.
Pada Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas dan pada Ahad kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi itu tiba di tanah air.
Satu lagi jenazah tiba pada Sabtu lepas.
Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.
Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140828/dn_03/Fasa-mencabar-kenal-pasti-jenazah#ixzz3BeRTOJWz © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment