Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 20 August 2014

POLITIK : PKR cari pasal, UMNO disalahkan

Oleh Zulkiflee Bakar

KAKITANGAN pejabat Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim menurunkan gambarnya setelah beliau dipecat oleh Abdul Khalid Ibrahim dan diminta mengosongkan pejabatnya baru-baru ini. - BERNAMA

SALAH satu penyakit yang ada dalam kalangan pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang ialah sering sahaja menuding jari kepada UMNO apabila tercetus sesuatu masalah dalam pakatan mereka.

Malah kalau ada isu yang mereka sendiri cetuskan dan apabila berlaku kontroversi, UMNO menjadi mangsa untuk dipersalahkan, seolah-olah UMNO mempunyai kuasa luar biasa bagi menggugat pakatan pembangkang, biarpun kebanyakan isu berpunca daripada mereka sendiri.

Begitu juga dalam kes perebutan kerusi Menteri Besar (MB) Selangor, tidak pasal-pasal mereka mengaitkannya dengan UMNO melalui hujah kononnya pendirian Pas untuk bersama pakatan pembangkang melenyapkan impian UMNO menguasai Selangor.

Aneh dan pelik. Entah teori apa yang digunakan oleh puak-puak pembangkang untuk berhujah demikian. UMNO hanya ada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, buat macam mana sekali pun parti itu tidak berupaya menguasai negeri tersebut kecuali jika rakyat memberi kemenangan majoriti kepada mereka dalam pilihan raya.

Malah menyatakan UMNO gentar dan tergugat apabila Pas membuat keputusan untuk terus bersama pakatan pembangkang juga satu hujah yang cukup tidak masuk akal. UMNO peduli apa sama ada Pas hendak berada dalam pakatan atau tidak? Pas bukannya anggota komponen BN tetapi Pas adalah parti yang dilayan bagaikan 'hamba politik' dalam pakatan pembangkang.

Sama ada Pas di dalam atau di luar pakatan pembangkang itu bukan urusan UMNO. Sebaliknya yang berasa gentar dan bimbang jika Pas membuat keputusan keluar pakatan ialah PKR dan DAP. Kedua-dua parti itu sebenarnya bergantung kepada Pas untuk meraih sokongan rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu.

Paling takut jika Pas keluar pakatan ialah PKR kerana parti itu tidak mempunyai apa-apa kekuatan politik, sebaliknya hanya bergantung kepada 'kepandaian' para pemimpinnya berhujah memburuk-burukkan BN. Kalau pakatan pembangkang mengharapkan PKR untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, mungkin sampai kiamat pun belum tentu cita-cita itu tercapai.

Tetapi disebabkan ada 'kuda tunggangan' yang hebat seperti Pas, maka PKR berupaya berada dalam kedudukan sekarang termasuklah mengerahkan ahli-ahli Pas ke jalanan bagi membela pemimpin PKR. Begitulah juga dengan DAP, biarpun majoriti pengundi Cina setia dengan parti tersebut tetapi mereka juga mahu Pas terus setia sebagai 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Namun tiada sesiapa pun yang percaya Pas akan meninggalkan pakatan pembangkang biarpun mereka perlu menggadaikan segala-galanya bagi menjaga hubungan dengan PKR dan DAP.

Pas dulu bukannya Pas sekarang, Pas dulu mendengar kata pucuk pimpinan khususnya Presiden, Pas dulu patuh kepada keputusan Majlis Syura Ulama dan Pas dulu tegas dengan pendirian memperjuangkan negara Islam. Tetapi Pas sekarang, kata Presiden pun dilanggar, keputusan Majlis Syura Ulama sekadar satu kenyataan dan perjuangan Islam sekadar slogan!

UMNO tidak ambil pusing kalau Pas mahu setia dalam pakatan pembangkang kerana menyedari Pas tidak akan menjadi tonggak utama yang boleh mengawal kerakusan politik PKR dan DAP. Sebaliknya, PKR memperalatkan Pas untuk meraih kuasa, manakala DAP mempergunakan Pas untuk mengukuhkan kuasa.

Seburuk-buruk UMNO dalam pandangan penyokong pakatan pembangkang, parti itu tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya. UMNO sentiasa tegas mempertahankan hak orang Melayu dan sentiasa gigih mempertingkatkan syiar Islam.

Tetapi bagaimana dengan Pas yang kini dikuasai oleh golongan bukan ulama? Bukankah parti itu sudah mengubah hala tuju perjuangannya daripada negara Islam kepada negara berkebajikan? Tidakkah Pas kecut perut disergah oleh DAP apabila mahu melaksanakan hukum hudud?

Fakta penting yang tidak harus dilupakan dalam kemelut perebutan kerusi MB Selangor ialah ia bukan berpunca daripada UMNO. Parti itu tidak pernah memainkan sekelumit pun peranan bagi menggerakkan 'langkah malang dari Kajang'. Sebaliknya yang bertanggungjawab berbuat demikian ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keghairahan dan kegelojohan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membolehkan beliau menduduki jawatan MB sebelum digantikan oleh si isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah memungkinkan segala kekalutan berlaku di Selangor.

Persoalannya, apakah para pemimpin Pas membantah tindakan mempermainkan demokrasi tersebut apabila satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan bagi memenuhi nafsu politik pemimpin-pemimpin PKR?

Di manakah kelantangan suara Pas yang sebelum ini begitu hebat menuduh UMNO mengamalkan nepotisme ketika Anwar tetap tegas hendak meletakkan isteri tercinta sebagai MB Selangor? Di manakah maruah Pas, apabila pemimpin PKR dan DAP langsung tidak mempedulikan perasaan parti itu dalam menjayakan Langkah Kajang? Tidakkah Pas hanya mengikut sahaja, tanpa sebarang bantahan?

Kasihan para penyokong Pas. Mereka hanya tahu memaki-hamun UMNO tetapi tidak sedikit pun mempunyai keberanian untuk mengecam pemimpin PKR dan DAP yang melayan parti kesayangan mereka bagaikan `melukut di tepi gantang'.

Segalanya berlaku kerana pemimpin PKR dan DAP serta segelintir pemimpin bukan ulama dalam Pas amat menyedari kelemahan utama penyokong-penyokong Pas ialah apabila sesuatu perkara itu dikaitkan dengan UMNO.

Nama UMNO seolah-olah 'ubat bius' yang akan melemahkan seluruh badan penyokong-penyokong Pas untuk berkata 'tidak' kepada kehendak politik PKR dan DAP. Sebab itulah apabila pilihan raya, jentera Pas paling kuat bekerja walaupun yang bertanding itu calon daripada kedua-dua parti tersebut.

Mereka lakukan itu untuk menegakkan perjuangan Islam tetapi tidak mahu melihat UMNO atau BN mencapai kemenangan tidak kira seburuk manapun layanan pemimpin PKR dan DAP terhadap Pas.

Dalam isu Selangor, pilihan raya negeri adalah sesuatu yang paling ditakuti oleh PKR kerana menyedari sudah pasti rakyat akan menghukum amalan politik tidak beretika mereka.

UMNO tidak ada apa-apa masalah sebaliknya menyerahkan kepada rakyat membuat keputusan. UMNO akan menghormatinya tetapi pembangkang kalau ada pilihan raya negeri, pasti akan mengatakan ia perancangan UMNO. Dan apabila kalah akan menuduh UMNO menipu.

Oleh itu, biarlah pembangkang dengan 'kegilaan' politik menuding jari kepada UMNO. Mereka lupa bahawa rakyat tidak boleh diperbodohkan seperti mana mereka memperbodohkan penyokong-penyokong sendiri.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140820/re_05/PKR-cari-pasal-UMNO-disalahkan#ixzz3Au6gKFvZ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: