Oleh THOMAS CHONG
dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bersama-sama menteri-menteri Kabinet serta 5,000 penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA 18 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, suasana sedih yang menyelubungi rakyat berikutan tragedi MH17 dan MH370 tidak melunturkan komitmen untuk menterjemahkan jiwa patriotisme melalui sambutan kemerdekaan.
Perdana Menteri berkata, keadaan tersebut menunjukkan kehebatan rakyat Malaysia yang sentiasa bersatu hati untuk mengharung semua rintangan serta mendepani cabaran mendatang dengan jiwa kental tidak kira pada masa pilu atau gembira.
"Meskipun kita masih diselubungi suasana kesedihan atas tragedi yang melanda negara, kita masih ada komitmen untuk bersama-sama menterjemahkan azam dan jiwa patriotisme dalam memelihara kedaulatan bumi tercinta Malaysia.
"Mari kita mengulangi ikrar dan janji untuk terus menunaikan amanah serta tanggungjawab kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara," katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dihadiri 5,000 orang di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Najib turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang akan bergerak dari Putrajaya ke seluruh negara bagi menyemarakkan semangat cintakan negara serta menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Najib berkata, erti kemerdekaan tidak terhad kepada pembebasan daripada penjajah semata-mata, tetapi turut membawa makna Malaysia berdikari serta menentukan masa depan dan hala tuju sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.
Perdana Menteri berkata, sambutan kemerdekaan diadakan kerana Malaysia telah melalui kisah sebuah negara yang berjaya menerusi kejayaan dalam proses transformasi, perangi kemiskinan serta pembangunan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia.
Dalam majlis itu, Najib turut menggesa rakyat untuk mengibarkan atau memasang Jalur Gemilang tidak kira di kediaman, pejabat atau kenderaan bagi menzahirkan semangat cintakan negara.
"Kalau kita tidak mengibar bendera, bukan bererti kita tidak ada atau kurang perasaan patriotisme, tetapi tindakan mengibarkan Jalur Gemilang adalah lebih bermakna sebab rasa dan jiwa patriotik ini tidak boleh disimpan dalam hati dan jiwa.
"Ia sebaliknya perlu dizahirkan secara terbuka bagi menunjukkan semangat rakyat Malaysia yang sanggup berjuang dan berkorban serta berbangga dengan kemerdekaan," katanya.
Najib berkata, Jalur Gemilang merupakan simbol kebanggaan yang mewakili jiwa dan roh sesebuah negara selain menjadi identiti nasional yang menyatukan semua rakyat.
"Jalur Gemilang juga mewakili nilai dan maruah sebuah pertiwi yang berdaulat. Jalur Gemilang adalah satu penghormatan, kebanggaan serta lambang kemenangan apabila kita melihat ia terus dikibarkan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140819/dn_01/Zahir-semangat-merdeka---PM#ixzz3Ao5Mz1nV © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment