Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 22 August 2014

AL- FATIHAH : Allahyarham Noor Zahidi komited, tegas - Mustapa


MUSTAPHA Mohamed (tengah) beramah mesra dengan pakar-pakar perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI

KOTA BHARU 21 Ogos - UMNO negeri hanya akan membincangkan soal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor selepas selesai pengurusan jenazah penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar yang kini masih berada di Guangzhou, China.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada masa ini tumpuan akan diberikan kepada proses membawa pulang jenazah dari China ke tanah air.

"Pada masa sekarang tidak berbangkit lagi soal ini (pilihan raya). Selesaikan dulu urusan jenazah baru fikir mengenai hal tersebut.

"Sekarang kita sedang berusaha membawa jenazah pulang dari China ke tanah air secepat mungkin. Dijangkakan jenazah akan tiba esok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pakar-pakar perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Noor Zahidi menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Guangzhou, China semalam.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 5.45 pagi waktu Malaysia ketika sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Sementara itu, Mustapa yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Noor Zahidi.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang cukup komited, tegas serta tokoh yang banyak berjasa kepada UMNO dan rakyat negeri ini.

"Beliau (Noor Zahidi) merupakan timbalan saya yang cukup komited menjalankan tugas. Apabila saya di Kuala Lumpur, beliau banyak menjaga urusan UMNO Kelantan.

"Saya banyak bergantung kepada beliau dalam menguruskan soal harian UMNO di Kelantan. Sekarang saya rasa 'patah kaki' kerana beliau banyak membantu," katanya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham dijangka tiba di tanah air dari Guangzhou, China malam esok.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Aziz memberitahu, mengikut persiapan yang diatur, jenazah akan diterbangkan dari Guangzhou dengan pesawat Malaysia Airlines pada pukul 2 petang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, dari KLIA, jenazah kemudiannya akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini.

"Jenazah dijangka tiba di Pengkalan Chepa pada pukul 9 malam esok dan dibawa ke kediamannya di Kampung Surau Pasir Pekan, Tumpat pada pukul 9.30 malam.

"Insya-Allah pengebumian Allahyarham akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan paling lewat pukul 10.30 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, beliau juga tidak menolak kemungkinan jenazah Noor Zahidi tiba lebih awal apabila terdapat perancangan kedua iaitu menerbangkan jenazah terus dari Guangzhou ke Pengkalan Chepa menerusi penerbangan AirAsia.

"Jika perancangan itu dapat dilaksana, jenazah dijangka tiba pada pukul 4 petang.

"Kita ada dua perancangan, sekiranya perancangan kedua itu tidak dapat dilaksanakan, kita ikut perancangan pertama iaitu tiba pada pukul 9 malam," katanya.

Katanya lagi, jenazah Noor Zahidi sudah sempurna dimandi serta dikafankan di China dan hanya menunggu masa untuk diterbangkan ke negara ini bagi proses pengebumian.

"Pengebumian akan dibuat sebagai acara rasmi negara yang mana akan diuruskan pihak tentera," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140822/po_06/Allahyarham-Noor-Zahidi-komited-tegas---Mustapa#ixzz3B5GSkSS4  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: