Orang Biasa aje, "Tell me and I'll forget; show me and I may remember; involve me and I'll understand." Pentingnya ILMU untuk di pelajari dan di kongsi bersama....Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan....
Monday, 25 August 2014
MH17 : Keluarga bersyukur urusan pengebumian Hasni lancar
ISTERI Hasni Hardi Parlan, Nabila Yusra sambil memangku anak tunggalnya tidak dapat menahan sebak ketika jenazah Hasni Hardi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Lebar, Batu 8, Batu Anam, Segamat, Johor, semalam. - UTUSAN/MOHAMED SAARI
SEGAMAT 22 Ogos - Ibu bapa Hasni Hardi Parlan, 31, salah seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 bersyukur kerana semua urusan pengebumian jenazah anaknya berjalan lancar dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Lebar, Batu 8, Batu Anam di sini hari ini.
Bapa mangsa, Parlan Masiran, 61, turut berterima kasih kepada kerajaan dan MAS yang telah banyak membantu semua keluarga mangsa dalam pelbagai urusan termasuk membawa jenazah pulang ke tanah air.
"Apa yang berlaku sememangnya sesuatu yang amat menyedihkan tetapi saya reda dengan apa yang telah ditakdirkan dan berasa lega selepas jenazah anak saya dapat disempurnakan tanpa sebarang masalah," katanya ditemui selepas upacara pengebumian Hasni Hardi, dekat sini.
Dalam pada itu, dia berharap kerajaan terus berusaha dan bekerjasama dengan kerajaan Belanda yang dibantu oleh pihak antarabangsa lain supaya dapat mengenal pasti penjenayah yang menembak pesawat MH17 dan mengheret mereka ke muka pengadilan.
Sementara itu, ibu mangsa, Asiah Rajikon, 57, mengakui walaupun tidak dapat menatap wajah anaknya buat kali terakhir, namun berpuas hati dengan cara pengurusan jenazah yang dilakukan oleh semua pihak termasuk semasa di Belanda.
Menurutnya, semasa ke Belanda untuk mengiringi jenazah anaknya untuk dibawa pulang Isnin lalu, dia dan suaminya hanya sempat melakukan sekali sahaja solat jenazah untuk arwah.
Walaupun masih bersedih atas kehilangan anak tersayang, tetapi dia tetap berasa bersyukur kerana kerajaan memberikan penghormatan negara terhadap semua mangsa tragedi tersebut.
Bagi adik mangsa, Fatin Najiha Parlan, 28, yang merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Mohd. Idham Hamjirin, 29, tahun depan akan mengadakan majlis secara sederhana bagi menghormati pemergian abangnya.
"Cukuplah secara sederhana ketika seluruh ahli keluarga masih bersedih dengan apa yang berlaku kerana saya pasti kesedihan ekoran kehilangan abang memerlukan masa yang lama untuk dipulihkan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_19/Keluarga-bersyukur-urusan-pengebumian-Hasni-lancar#ixzz3BN4T6Zbz © Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment