Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 22 August 2014

SUKAN ASIA 2014 : Korea Selatan, Arab Saudi menanti skuad Kim Swee


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Tuah jelas tidak mengiringi skuad Harimau Muda A apabila mendapat undian sukar bagi temasya Sukan Asia 2014.

Skuad dibimbing Datuk Ong Kim Swee itu diundi ke dalam Kumpulan A yang mempertemukan mereka dengan dua gergasi Asia dan pasukan pilihan, iaitu tuan rumah Korea Selatan serta Arab Saudi. Satu lagi pasukan ialah Laos.

Untuk temasya kali ini, hanya juara dan naib juara kumpulan sahaja akan ke pusingan kedua, bermakna anak-anak buah Kim Swee perlu menang ke atas sama ada Korea Selatan atau Arab Saudi, dengan jangkaan Laos boleh dijinakkan.

Menurut Kim Swee, peluang untuk melepasi peringkat kumpulan memang tampak mencabar, tambahan dia hanya dapat mengumpulkan semua anggota skuadnya dalam tempoh seminggu.

Namun dia berjanji Harimau Muda akan berjuang habis-habisan untuk memenuhi sasaran layak ke suku akhir yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini.

"Kita kena menerima keputusan undian ini dengan hati terbuka tetapi jangan terlalu cepat mengalah walaupun semua orang tahu Korea Selatan ialah lawan yang hebat.

"Namun, saya fikir kita masih ada peluang dengan Arab Saudi dan Laos. Jika kita menang kedua-dua perlawanan ini, saya fikir kita masih ada peluang. Perkara pokoknya kita mesti ada pemain yang cergas 100 peratus untuk bermain dalam setiap perlawanan ini.

"Kita pernah bertemu Korea Selatan di Myanmar dalam pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun (Harimau Muda kalah 3-2), tetapi kita tidak boleh bergantung kepada keputusan lalu.

"Mereka juga pasti tampil lebih bersemangat bermain di depan penyokong sendiri untuk memenangi pingat emas dalam bola sepak yang dilabel ibu segala pingat," katanya ketika dihubungi semalam.

Majlis undian berlangsung di Incheon semalam.

Mengulas senarai pemain yang akan dipanggil, Kim Swee mendedahkan dia hanya akan menyenaraikan enam hingga tujuh pemain yang sedang berkelana di Australia manakala selebihnya datang dari saingan Liga Malaysia.

Katanya, dia hanya memilih sebahagian daripada anggota skuad di Australia kerana kebanyakan mereka terlalu muda dengan purata berumur 21 tahun ke bawah.

"Daripada 20 nama pemain yang saya akan umumkan minggu hadapan, bergantung kepada situasi fizikal pemain-pemain Bawah 23, saya hanya akan bawa enam ke tujuh pemain sahaja dari skuad Harimau Muda A.

"Saya faham mesti ada orang persoalkan mengapa hanya sedikit sahaja pemain dari Australia yang dibawa.

"Saya mahu mengingatkan skuad Harimau Muda A kali ini bukan sama seperti mana dua tahun dahulu.

"Rata-rata pemain berumur 21 tahun ke bawah kecuali Gary Steven Robbat, Amer Saidin dan Fandi Othman namun ketiga-tiganya tidak beraksi secara kompetitif selama setahun.

"Itu sebabnya saya akan memilih ramai pemain dari pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia. Saya tegaskan di sini bukan Harimau Muda A yang akan mewakili Malaysia di Sukan Asia tetapi pasukan Bawah 23, " katanya.

Antara pemain-pemain Bawah 23 yang dijangka disenaraikan ialah A. Thamil Arasu, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Ahmad Hazwan Bakri, Junior Eldstal, Izham Tarmizi Roslan dan Mohd. Nazmi Faiz.

Berbanding pasukan negara yang hanya diberi ruang selama seminggu untuk mengumpulkan 20 pemain termasuk tiga pemain senior di Qingdao, China dan menentang pasukan Bawah 23 China, Korea Selatan dan Arab Saudi dilihat mempunyai persiapan yang lebih menyeluruh.

Korea Selatan akan menjalani latihan selama dua minggu bermula 1 September sementara Arab Saudi difahamkan sedang mengadakan persiapan intensif di Turki.

Acara bola sepak akan bermula pada 14 September dan perlawanan akhir dijadualkan pada 3 Oktober.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140822/su_03/Korea-Selatan-Arab-Saudi-menanti-skuad-Kim-Swee#ixzz3B50aus00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: