Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 21 August 2014

20 jenazah tragedi MH17 tiba esok

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my

HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama (dari kiri) Rohani Abdul Karim, Ahmad Shabery Cheek, Liow Tiong Lai dan Jailani Johari semasa sidang media berkenaan upacara penerimaan jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 20 Ogos - Kerajaan mengesahkan 20 jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai lalu di timur Ukraine akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua jenazah rakyat Malaysia itu akan tiba dengan menaiki penerbangan dari Amsterdam, Belanda pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan dan dijangka tiba di KLIA pada pukul 9.45 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, senarai penuh nama kesemua jenazah tersebut bersama tempat persemadian terakhir hanya akan diumumkan esok.

"Buat masa sekarang kita hanya dapat mengesahkan semua persediaan ke negeri berkenaan yang telah ditetapkan dan diumumkan sebelum ini masih kekal biarpun terdapat penambahan jumlah jenazah yang dibawa pulang.

"Cuma yang berubah adalah tempat pengebumian jenazah di negeri terbabit misalnya di Perak terdapat permintaan keluarga supaya jenazah dihantar ke Ipoh dan akan dibawa menggunakan pesawat Charlie (C-130 Hercules), manakala jenazah yang akan dihantar ke Johor iaitu di Segamat dan Pagoh akan menggunakan helikopter EC-725," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama mengenai pesawat MH17 di Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Menurut Hishammuddin yang juga Penyelaras Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17, beliau telah dimaklumkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa persiapan untuk menghantar jenazah ke Kuching, Sarawak berjalan lancar seperti dirancangkan.

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat ke majlis istiadat tersebut.

Beliau dimaklumkan bahawa kemungkinan besar Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan berangkat ke Ipoh bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah yang tiba di negeri itu.

"Kita juga akan menjemput semua Ahli Dewan Rakyat dari pihak kerajaan dan pembangkang untuk turut serta memberi penghormatan terakhir.

"Pada masa itu kita minta seluruh rakyat untuk bersama-sama sekurang-kurangnya bertafakur selama seminit dan tiada sebab untuk kita ketepikan kepelbagaian dan perbezaan untuk kita memberi penghormatan pada mereka yang tidak berdosa ini," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, selepas ketibaan kumpulan jenazah pertama pada Jumaat ini kerajaan akan membuat persediaan untuk menyambut ketibaan kumpulan kedua yang dijangka pada 24 Ogos ini.

Katanya, ketibaan kumpulan kedua jenazah tersebut belum dapat diberikan pengesahan lanjut lagi tetapi akan dibuat di tempat sama, namun tiada majlis berkabung diadakan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140821/dn_05/20-jenazah-tragedi-MH17-tiba-esok#ixzz3B0IPEZgP  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: