Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
MOHD. SHUKOR ADAN
KUALA LUMPUR - Walaupun masih segar dengan kejayaan menewaskan juara bertahan, Pahang, Sabtu lalu, perasaan untuk mendabik dada langsung tidak wujud dalam pemikiran ketua pasukan Felda United, Mohd. Shukor Adan.
Sudah membuang jauh-jauh kegembiraan memalukan Tok Gajah di laman sendiri, dia menyedari pertemuan kedua di Stadium Selayang malam ini jauh lebih sukar memandangkan lawan ibarat harimau yang terluka dan ingin membalas dendam kekalahan tempoh hari.
"Kemenangan di Kuantan memang sesuatu yang manis kerana kita pada mulanya hanya sasar satu mata sahaja untuk dibawa pulang, namun sebaliknya meraih mata penuh, sekali gus menghuni tangga teratas Kumpulan C.
"Namun, saya sudah tidak fikirkan lagi perkara itu menjelang pertemuan esok kerana Pahang pasti ada perancangan tersendiri setelah menilai kembali kelemahan mereka, kami juga tidak boleh terlalu yakin.
"Perlawanan esok pasti sukar kerana Pahang akan cuba memadam memori kekalahan dan kami pula mahu mempertahankan kedudukan tangga teratas bagi merintis laluan ke suku akhir, " kata bekas pemain Selangor, Negeri Sembilan dan ATM itu.
Tambah pemain berusia 34 tahun itu, The Fighters sudah memasang impian lebih tinggi iaitu mahu pergi jauh daripada sekadar melepasi saingan kumpulan semata-mata dan berasakan tidak mustahil mereka mampu mencabar kejuaraan Piala Malaysia.
"Selepas menang dengan Pahang, saya tidak nafikan lonjakan keyakinan dalam kalangan pemain semakin meningkat dan kami mahu habiskan perjuangan pada musim ini dengan satu perkara yang boleh dibanggakan.
"Menduduki tangga kedua Liga Perdana dan menjadi naib juara Piala FA meningkatkan azam kami untuk memburu sekurang-kurangnya satu trofi dengan Piala Malaysia menjadi sasaran realistik," katanya.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) bertandang ke Singapura untuk memburu tiga lagi mata selepas menewaskan LionsXII di tempat sendiri, Sabtu lalu.
Sementara itu, aksi Kumpulan C memperlihatkan Pulau Pinang yang berdepan masalah kecederaan pemain tidak meletak harapan tinggi untuk melakar kejutan di Larkin.
Menurut jurulatihnya, K. Devan, perkara yang membuatkan dia pening kepala adalah ketiadaan pemain import di bahagian pertahanan, Lee Kwang-Hyun yang mengalami kekejangan otot selain Zharif Hasna dan penyerang dari Angola, Titi Buengo.
"Setelah kami kalah 1-3 di tempat sendiri, saya sedar tahap keyakinan pemain JDT amat tinggi, tambahan mereka akan bermain di tempat sendiri. Jadi , bukan satu perkara mudah buat kami mencari mata di sana.
"Saya mungkin terpaksa membuat rombakan di bahagian pertahanan ekoran ketiadaan Lee dengan Mat Saiful atau G. Mahathevan berada dalam perancangan untuk digandingkan bersama Yong Kuong Yong, " katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140826/su_04/Pahang-ibarat-harimau-yang-luka#ixzz3BSyTSiCP © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment