Ahmad Tarmizi Ismail bersama Alif Haiqal menyiram air mawar di pusara isterinya, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 22 Ogos - "Saya bersyukur dipinjam oleh Allah seorang isteri dan juga seorang ibu, mungkin bukan paling sempurna tetapi paling baik untuk anak-anak."
Itu luahan Ahmad Tarmizi Ismail, 41, suami kepada pramugari Malaysia Airlines (MAS) MH17, Allahyarham Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, 38, yang terkorban selepas pesawat tersebut ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Ahmad Tarmizi berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha membawa balik jenazah isterinya ke tanah air terutama kepada pihak kerajaan.
"Buat masa ini anak sulung memang sudah memahami ibunya sudah tidak ada lagi dan dia nampak tabah. Bagaimanapun, anak kedua kami masih terasa kehilangan dan mencari sesuatu disebabkan dia masih menyusu badan dengan ibunya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Jenazah Hamfazlin tiba di rumah keluarganya di Wangsa Maju di sini pada pukul 12.50 tengah hari dan disambut kira-kira 300 ahli keluarga dan rakan-rakan.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Usamah Zaid, Wangsa Maju untuk disembahyangkan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak pada pukul 3.30 petang.
Hamfazlin meninggalkan Ahmad Tarmizi serta dua anak lelaki Alif Haiqal, 8, dan Alif Hazim, 2.
Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi berkata, dia akan terus menjaga anak-anaknya seperti biasa tanpa isterinya selepas ini.
"Anak-anak ada dengan saya. Saya akan menjaga mereka dan tidak akan membiarkan mereka dengan orang lain. Malah, emak mentua hanya menjaga mereka ketika saya pergi kerja. Waktu lain saya yang akan menjaga mereka," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_15/Syukur-dipinjam-isteri-ibu-paling-baik---Suami#ixzz3BMxHGNFD © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment