Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 28 August 2014

POLITIK : Calon satu nama tidak benar

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

ABDUL Khalid Ibrahim bersama Exco Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi (kanan), Ir. Iskandar Abdul Samad (dua, kiri) dan Dr. Halimah Ali (kiri) semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 27 Ogos - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan kenyataan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semalam yang mendakwa kedua-dua parti itu hanya mencalonkan nama beliau untuk mengisi jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya umum lalu adalah tidak benar.

Beliau mendedahkan, selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013 yang lalu, selain nama beliau, terdapat nama calon lain turut dihantar oleh parti-parti dalam pakatan pembangkang kepada pihak istana untuk mendapatkan perkenan daripada Sultan Selangor sebagai Menteri Besar.

Pendedahan Abdul Khalid itu sekali gus menafikan kenyataan PKR dan DAP yang kononnya pencalonan hanya satu nama untuk jawatan Menteri Besar kepada Sultan Selangor itu merupakan konvensi yang diamalkan oleh pakatan pembangkang.

"Pencalonan itu (selain nama beliau) sebagai Menteri Besar tidak dilaporkan. Ada permohonan berasingan dibuat oleh PKR dan Pas pada tahun 2008 dan 2013.

"Tidak ada satu nama, mereka hantar lebih satu nama kepada istana. Nama-nama calon itu dihantar dari semasa ke semasa sebagai tambahan melalui surat yang berasingan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan PKR dan DAP yang dibuat secara bersama oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua semalam yang menyatakan akan hanya mempersembahkan nama Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar kepada Sultan Selangor.

Dalam kenyataan itu, pencalonan Wan Azizah itu adalah selaras dengan konvensi pakatan pembangkang pada tahun 2013 yang mengemukakan hanya satu nama untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor.

Kenyataan PKR dan DAP itu dibuat selepas Sultan Selangor menitahkan setiap pemimpin PKR, DAP dan Pas supaya mencadangkan lebih daripada dua nama daripada parti masing-masing untuk dipertimbang serta diperkenankan mengisi jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menyatakan beliau tidak mahu dikaitkan dalam soal pencalonan nama-nama calon daripada pakatan pembangkang untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan beliau.

Sebaliknya, beliau menyatakan senarai nama calon jawatan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor yang akan menentukan serta memberi perkenan kepada individu yang dirasakan layak oleh baginda.

"Saya tidak mahu terlibat dalam sebarang proses membuat keputusan pemilihan Menteri Besar Selangor yang baharu," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140828/po_05/Calon-satu-nama-tidak-benar#ixzz3BeNXio8V  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: