PENERJUN negara, Ooi Tze Liang menunjukkan pingat perak yang dimenanginya dalam acara terjun 10 meter platfom individu lelaki pada Sukan Komanwel XX di Glasgow, Scotland, semalam. - BERNAMA
EDINBURGH - Skuad terjun negara mengakhiri perjuangan mereka pada temasya Sukan Komanwel XX dengan kilauan pingat perak menerusi penerjun muda negara, Ooi Tze Liang dalam acara akhir 10 meter platform individu lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel di sini, semalam.
Keputusan itu bermakna, peluang kontinjen negara untuk mencapai sasaran tujuh emas sudah pun tertutup. Dalam aksi, semalam Tze Liang berjaya mengumpul 433.70 mata iaitu 82.85 mata di belakang jaguh Olimpik England, Tom Daley yang memungut 516.55 mata. Pingat gangsa dimenangi Vincent Riendeau dari Kanada dengan 429.25 mata.
"Macam dalam pertandingan lain saya cuba memberi fokus terbaik dalam setiap terjunan. Saya cuba sedaya upaya untuk tenang dan tidak panik," katanya selepas menamatkan saingan di sini, semalam. Dalam saingan 3m papan anjal individu lelaki pada Khamis lepas, Tze Liang menghadiahkan pingat emas keempat Malaysia bagi temasya kali ini.
"Saya mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada ibu bapa dan jurulatih saya, Huang Qiang yang banyak mengajar saya supaya tidak gugup semasa bertanding," kata penerjun berusia 20 tahun dari Pulau Pinang itu.
Seorang lagi penerjun Malaysia yang beraksi dalam saingan peringkat akhir, Chew Yiwei sekadar di tempat ke-10 dengan 358.55 mata. Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan saingan acara terjun di Sukan Komanwel dengan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Sementara itu, dalam saingan 3m papan anjal individu wanita, penerjun negara, Ng Yan Yee terlepas peluang meraih pingat gangsa setelah dia sekadar terikat di kedudukan keempat bersama penerjun Australia, Maddison Keeney dengan 308.20 mata.
Selain Yan Yee, Malaysia turut memiliki dua lagi wakil dalam pertandingan tersebut iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong. Kedua-dua atlet berkenaan sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11 setelah mengumpul 284.20 mata, manakala Jun Hoong di tempat terakhir dengan 271.95 mata.
"Saya merasa sedikit terkilan kerana melakukan kesilapan pada terjunan ketiga dan ia menyebabkan kedudukan saya jatuh, kalau tidak saya boleh menghadiahkan pingat buat Malaysia," katanya.
Pingat emas acara itu dimenangi Esther Qin dari Australia apabila mengumpul 347.25 mata dan diikuti Jennifer Abel (Kanada) serta Hannah Starling (England) yang masing-masing meraih perak serta gangsa dengan pungutan 324.70 mata dan 316.95 mata.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian di sini. Saingan di sini agak sukar juga dengan adanya penerjun dari England, Kanada dan Australia. Selepas ini, saya akan tumpukan latihan menghadapi Sukan Asia pula. Bagaimanapun, saya belum tahu acara apa yang saya akan sertai kerana semua bergantung kepada keputusan jurulatih dan persatuan (Persatuan Renang Amatur Malaysia)," katanya.
Menurut Yan Yee, saingan di Sukan Asia tidak jauh berbeza dengan Sukan Komanwel berikutan kehadiran penerjun dari China, Jepun dan Korea Selatan. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_02/Hanya-perak-mampu-dijelmakan-Tze-Liang#ixzz39UZKy5vt © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment