Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 5 August 2014

SUKAN KOMANWEL : Ganjaran lumayan buat Hafifi

Oleh RADHUAN HUSSAIN
sukan@utusan.com.my

AHMAD Raziff Abd. Rahman menyampaikan sumbangan kepada Mohd. Hafifi Mansor yang memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel di Glasgow ketika majlis sambutan kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD NOR

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri, semalam memberi pengiktirafan kepada jaguh angkat berat negara kelahiran Terengganu, Mohd. Hafifi Mansor atas kecemerlangannya menyumbang pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

Sebagai bukti pengiktirafan itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman menunaikan janjinya mengumumkan bentuk insentif kepada atlet tersebut iaitu satu lot tanah di kawasan Tok Jembal dekat sini serta cek bernilai RM10,000. Selain itu, Mohd. Hafifi, 24, turut menerima insentif berjumlah RM80,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas sumbangannya kepada negara.

Ahmad Razif mengumumkan perkara itu pada majlis menyambut kepulangan Mohd. Hafifi di pekarangan balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dekat sini, semalam.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Ahmad Razif berkata, proses pemberian tanah lot banglo kepada Mohd. Hafifi dijangka dapat diselesaikan dalam masa dua hingga tiga minggu ini.

"Dalam tempoh dua tiga minggu ini kita akan selesaikan urusan memberi insentif tanah lot banglo di kawasan Tok Jembal yang saya telah kenal pasti untuk kita serahkan kepada Mohd. Hafifi.

"Saya difahamkan yang dia ingin pulang ke Terengganu untuk tabur bakti di sini sebagai jurulatih, jadi eloklah dengan lot rumah ini dia tidak perlu berhijrah ke tempat lain, dia akan tinggal di Terengganu dan boleh bantu atlet sukan angkat berat di negeri ini," katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan Mohd. Hafifi serta beberapa atlet lain negeri ini termasuk dalam sukan lumba basikal dan kanu telah mengharumkan Terengganu ke peringkat dunia.

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana hari ini (semalam) merupakan satu detik bersejarah kerana tidak secara langsung Terengganu sudah dikenali di persada dunia dan kita bukan lagi ‘jaguh kampung’.

"Hari ini kita sudah jadi jaguh antarabangsa dengan kehebatan altlet lumba basikal, kanu dan angkat berat. Selepas ini kita akan turut memberi fokus kepada sukan lain termasuk hoki dan bola sepak," jelasnya.

Sementara itu, sejurus selepas majlis menyambut kepulangan Mohd. Hafifi berakhir, atlet itu kemudian diarak dengan 10 buah kenderaan pacuan empat roda ke sekitar kawasan tempat kelahirannya di Seberang Takir.

Anak keempat daripada enam beradik itu menyumbang pingat emas pertama negara dalam kategori 69 kilogram pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow yang telah pun masuk hari terakhir temasya, semalam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_03/Ganjaran-lumayan-buat-Hafifi#ixzz39UfZ33ya  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: