GANDINGAN Malaysia, Tan Wee Kiong (kiri) dan Goh V Shem menunjukkan pingat yang dimenangi selepas menundukkan pasangan Singapura, Danny Chrisnanta- Chayut Triyachart pada temasya Sukan Komanwel XX diGlasgow, Scotland, semalam.
KUALA LUMPUR - Dua pingat emas yang dihadiahkan oleh pasukan badminton negara pada hari terakhir Sukan Komanwel XX di Glasgow, Scotland, semalam hanya menggembirakan kem negara untuk seketika berikutan terpaksa menerima hakikat Malaysia gagal mencapai sasaran tujuh emas.
Malaysia hanya mampu menamatkan kempen Sukan Komanwel 2014 dengan enam pingat emas dan catatan di Glasgow adalah yang terendah berbanding penyertaan negara dalam empat edisi sebelum ini iaitu di Kuala Lumpur (1998, 10 emas), Manchester (2002, tujuh emas), Melbourne (2006, tujuh emas) dan New Delhi (2010, 12 emas).
Pingat emas, semalam hadir menerusi acara beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menewaskan gandingan India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dengan keputusan 21-17, 23-21 dan sekali gus mengulangi pencapaian pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty di Melbourne lapan tahun lalu.
Sementara itu, dalam aksi lelaki pasangan negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem menghadiahkan emas keenam Malaysia selepas menewaskan Danny Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Singapura dengan keputusan 21-12, 12-21, 21-15.
BEREGU wanita negara, Vivian Hoo (kanan) dan Woon Khe Wei meraikan kejayaan memenangi pingat emas selepas menewaskan beregu India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa ditemasya Sukan Komanwel XX, Glasgow, Scotland, semalam. - BERNAMA
Kempen Malaysia di Glasgow bermula penuh semangat apabila atlet angkat berat, Mohd. Hafifi Mansor menghadiahkan kilauan emas pertama menerusi kategori 69 kilogram (kg) lelaki dalam aksi final di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint, Scotland, 26 Julai lalu.
Atlet Terengganu berusia 24 tahun itu juga antara prospek pingat emas yang berjaya menepati sasaran pada temasya kali ini, selain dapat memperbaiki pencapaian gangsa dalam kategori sama di Sukan Komanwel 2010.
Dua hari selepas Mohd. Hafifi membuktikan kecemerlangan, kem negara terus ceria apabila pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David berjaya menepati ramalan dengan menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia menerusi acara skuasy perseorangan selepas menewaskan Laura Massaro dari England, 3-0 pada final 28 Julai lepas. Nicol, 30, menunaikan janji awalnya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada temasya sama di New Delhi, India empat tahun lalu.
Pemburuan tujuh pingat emas pada Sukan Komanwel 2014 kelihatan berada di landasan selepas skuad badminton berjaya mempertahankan kejuaraan dalam acara berpasukan campuran pada Selasa lalu untuk pingat emas ketiga Malaysia.
Bagaimanapun selepas memasuki hari ketujuh temasya, sumbangan pingat emas dalam kalangan atlet negara nampak kurang memberangsangkan sekali gus menimbulkan keraguan untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas yang telah ditetapkan sebelum ini.
Pingat emas keempat negara yang dihadiahkan oleh atlet terjun negara, Ooi Tze Liang pada 31 Julai lalu dalam acara akhir 3m papan anjal lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel seakan-akan menghidupkan kembali peluang untuk mencapai sasaran kontinjen negara.
Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila sandaran Malaysia menerusi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandelela Rinong pada temasya kali ini nampaknya tidak menjadi setelah anak kelahiran Sarawak itu hanya menjelmakan pingat perak dan turut gagal mempertahan emas Sukan Komanwel 2010 dalam acara 10 meter platform wanita.
Harapan untuk melihat skuad terjun menghadiahkan lebih banyak pingat emas terkubur selepas Tze Liang hanya mampu meraih perak dalam acara akhir 10m platform lelaki, semalam yang sekali gus menutup terus pintu kontinjen negara melengkapkan sasaran tujuh emas.
Pulang dengan enam emas bermakna kontinjen Malaysia bukan sahaja gagal memperbaiki pencapaian 12 pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India tetapi boleh dianggap sebagai pencapaian hambar selepas Sukan Komanwel 1994 di Kanada.
Sewaktu di Kanada, Malaysia hanya mampu membawa pulang dua emas, bagaimanapun prestasi kontinjen negara meningkat naik sewaktu penyertaan edisi temasya 1998 di Kuala Lumpur apabila berupaya meraih 10 pingat emas dan pencapaian terbaik negara adalah pada empat tahun lalu di India.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_01/Sasaran-7-emas-lebur#ixzz39UWUm3jP © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment