Oleh NORHIDAYAH ABDUL MANAF
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Umat Islam sebagai golongan kedua terbesar di dunia perlu bersatu hati menggerakkan bantahan mereka secara terbuka berhubung kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin agar rejim Zionis itu menerima kesan paling maksimum dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharuddin Mat Isa berkata, tekanan oleh penganut Islam sedunia mampu mewujudkan impak paling efektif terutama dalam melemahkan kekuatan dan keangkuhan rejim tersebut.
Katanya, umat Islam melakukan sesuatu yang signifikan dalam memperkasakan perjuangan rakyat Palestin termasuk melalui bantuan kemanusiaan dan pada masa sama menyokong perjuangan mereka menentang Israel.
"Apa yang dilakukan rejim Zionis adalah ganas dan mereka tidak akan berhenti di situ sahaja. Keganasan ini akan berterusan secara terang-terangan. Serangan kini dilakukan bertalu-talu di Gaza, kita tidak boleh senyap tetapi bangkit menyatakan sokongan terhadap Gaza, hantar bantuan kepada Palestin.
"Kita perlu menzahirkan bantahan kepada masyarakat dunia kerana sekarang bukan lagi masa untuk menggunakan strategi senyap terhadap mereka. Memang elok mengatur strategi tetapi kalau senyap tidak boleh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad semalam bahawa umat Islam di seluruh dunia perlu mengatur strategi secara senyap bagi menentang kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Azmi Abdul Hamid berkata, bantahan terhadap Israel tidak boleh dilakukan dengan senyap kerana kekejaman rejim Zionis itu membunuh rakyat Palestin adalah nyata dan sangat keterlaluan.
Jelas beliau, kekejaman itu yang disaksikan oleh seluruh dunia telah menimbulkan kemarahan kepada semua pihak dan akan menjadi sesuatu yang sangat ganjil apabila umat Islam dilihat sunyi sepi daripada membantah tindakan kejam Israel.
"Kecuali jika strategi senyap untuk menentang Israel itu bersifat propaganda atau peperangan psikologi, tetapi apa yang dilakukan rejim Zionis adalah pembunuhan nyata.
"Pada saya kedua-duanya kena buat, gerakan senyap dengan memboikot barangan Israel dan bantahan secara terbuka. Selain itu, usaha negara-negara Islam mengenakan tekanan terhadap Israel menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) adalah berkesan dalam mewujudkan gerakan diplomatik bagi menghalang kekejaman Israel," tegasnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140806/dn_01/Umat-Islam-perlu-beri-impak#ixzz39ZL8gDXs © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment