Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 5 August 2014

Malaysia seru negara UNSC bersatu tamatkan pencerobohan di Gaza

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Seorang lelaki melihat deretan mayat ahli keluarganya yang terbunuh akibat serangan udara tentera Israel di selatan Genting Gaza, semalam. Serangan terbaharu Israel itu mengorbankan sembilan orang ahli keluarga al-Ghol. - AFP

PUTRAJAYA 3 Ogos - Malaysia menyeru negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bersatu dan bertindak tegas dalam menamatkan segera pencerobohan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) secara kolektif memainkan peranan lebih berani dalam melindungi, mempertahankan serta menamatkan pertumpahan darah di wilayah bergolak itu.

Beliau menegaskan, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya juga perlu segera menuntut Israel menghentikan kekejaman yang mereka lakukan.

“Saya amat kesal pelbagai usaha gencatan senjata untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan kutukan keras masyarakat antarabangsa mengenai jenayah perang Israel hanya dipenuhi dengan lebih banyak serangan bom biarpun krisis di Gaza memasuki hari ke-28.

“Serangan tersebut secara tidak langsung telah mengorbankan lebih daripada 1,700 nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan infrastruktur sosial serta ekonomi termasuklah melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengecam sekeras-kerasnya terhadap pembunuhan berterusan tanpa belas kasihan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza, yang kebanyakannya merupakan wanita, kanak-kanak dan warga tua.

“Saya menuntut Israel segera menghentikan pembunuhan kejam beramai-ramai dan perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk awam yang tidak bersenjata," katanya.

Pada masa sama, beliau tersentuh dengan sokongan rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan mengutuk serta mahukan kekejaman ke atas rakyat awam Gaza dihentikan segera.

“Saya percaya pembunuhan tanpa belas kasihan orang awam oleh tentera Israel merupakan tindakan yang jelas ganas dan sebuah jenayah perang yang boleh dihukum di bawah undang-undang antarabangsa.

“Dengan semua cara yang mungkin, saya menyeru kepada mereka yang melakukan jenayah yang kejam ini dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_01/Malaysia-seru-negara-UNSC-bersatu-tamatkan-pencerobohan-di-Gaza#ixzz39U3AcRXp  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: