PENYERANG JDT Norshahrul Idlan Talaha (tengah) cuba melepaskan diri daripada kawalan dua pemain pertahanan Kelantandalam perlawanan pertama Piala Malaysia di Johor Bahru malam tadi. JDT menang 1-0. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
KUALA LUMPUR - Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan kempen Piala Malaysia musim ini dengan kemenangan tipis sementara juara tahun lalu Pahang menang besar dalam perlawanan yang dimulakan lewat akibat hujan lebat malam tadi.
JDT terpaksa menunggu hingga penghujung perlawanan untuk menang 1-0 ke atas Kelantan dalam saingan Kumpulan C di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Johor Bahru.
JDT terpaksa bekerja keras untuk meraih tiga mata penuh, walaupun mempamerkan permainan kemas dengan beberapa gerakan menarik.
Pemain JDT, Safiq Rahim muncul wira buat Harimau Selatan apabila jaringannya pada minit ke-72 sudah cukup untuk melegakan para penyokong setia mereka yang bersorak sebaik perlawanan dimulakan.
Safiq yang dibawakan masuk menggantikan Safee Sali yang cedera pada awal perlawanan menjaringkan gol kemenangan itu setelah membuat larian ke dalam kawasan gol untuk menerima lorongan cantik Jasazrin Jamaluddin dan menyepak bola melepasi kaki penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan yang dilihat cuba mengikat kedudukan dengan beberapa percubaan namun gagal mencuri mata di gelanggang lawan hingga ke wisel penamat.
Sementara itu Pahang menang 4-0 ke atas JDT II di Stadium Darul Makmur, Kuantan setelah mendahului 2-0 pada babak pertama.
Dickson Nwakaema menjaringkan dua gol buat skuad Tok Gajah pada minit keempat dan 70 manakala dua lagi gol disumbat oleh Matias Conti dan Mohd. Fauzi Roslan, masing-masing pada minit ke39 dan 93.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, menyaksikan kelab T-Team untuk memulakan saingan Kumpulan D Piala Malaysia dengan kejutan tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada naib juara Liga Super, Selangor.
Walaupun menemui sentuhan jaringan terlebih dahulu menerusi pemain dari Indonesia, Patrich Steve Wanggai pada minit ke-48, namun tuan rumah kemudiannya menyaksikan mereka dibolosi dua gol dalam tempoh dua minit.
Selangor hanya memerlukan dua minit kemudian untuk menyamakan kedudukan apabila pemain dasri Indonesia, Andik Vermansyah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50 sebelum penyerang sensasi dari Brazil, Paolo Rangel menjaringkan gol kedua Red Giants pada minit ke-52, sekali gus menafikan impian pengendali baharu T-Team, Anuar Abu Bakar untuk memungut tiga mata di laman sendiri.
Di Stadium Selayang, pasukan divisyen dua Pulau Pinang mencuri satu mata berharga selepas mengikat pasukan Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia(ATM) 1-1 dalam aksi Kumpulan C.
Gawang pelawat bergegar pada minit ke-25 melalui percubaan Hairuddin Omar yang meluru masuk ke dalam kotak penalti untuk menyambut sepakan sudut direncanakan Bruno Martelotto.
Harimau Kumbang yang banyak diasak sepanjang permainan akhirnya berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan ATM bagi mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-44.
Melalui gerakan yang dimulakan oleh Lee Gil Hoon, dia melakukan hantaran kepada Luiz Ricardo Santos yang tenang melorongkan bola kepada Mohd. Rafiuddin Roddin yang mudah mengecewakan Syed Adney Syed Hussein dalam situasi satu lawan satu.
Di Stadium Jalan Besar, Lions XII gagal memanfaatkan kelebihan dimiliki apabila sekadar berupaya berkongsi satu mata menentang Felda United dalam saingan Kumpulan A setelah mereka terikat tanpa jaringan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140814/su_04/JDT-berhempas-pulas-Pahang-menang-selesa#ixzz3ARhRmwIb © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment