Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 15 August 2014

Demi mandat rakyat atau politik

Zulkiflee Bakar

Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan isyarat bagus selepas mengadakan sidang media khas di pejabatnya di Shah Alam, selepas menghadap Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang, Isnin lalu.

PEMIMPIN-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berhujah tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat enam Exco Kerajaan Negeri Selangor, kelmarin sebagai tidak sah dan tidak beretika.

Mereka dengan lantang menegaskan, pemecatan oleh Menteri Besar (MB) Selangor itu tidak menghormati semangat dan prinsip demokrasi serta mengabaikan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Soal sah, tidak sah sudah tidak timbul apabila Sultan Selangor sudah memperkenan pemecatan itu tetapi apa yang hendak dipersoalkan pandai pula mereka mengaitkan tindakan Abdul Khalid dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada pakatan pembangkang di negeri itu pada Pilihan Raya Ke-13 lalu.

Kenapakah selama ini pemimpin DAP, khususnya tidak pernah mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menggantikan Abdul Khalid? Kenapakah tidak bertanya wajarkah `Langkah Kajang' dilaksanakan semata-mata untuk menggantikan Abdul Khalid yang tidak sebulu dengan pucuk pimpinan PKR? Dan tanyalah Anwar, layak sangatkah isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menduduki jawatan MB Selangor?

Kesemua persoalan itu berkaitan mandat rakyat seperti mana ia dijadikan hujah oleh DAP dan PKR tetapi malang ia tidak pernah dibangkitkan pemimpin-pemimpin kedua-dua parti tersebut, sebaliknya mereka mengikut sahaja apa dirancangkan oleh Anwar.

Jika benar tindakan Abdul Khalid tidak beretika dan menyalahi prinsip demokrasi, apakah usaha menyingkirkan beliau daripada kerusi MB Selangor itu boleh dianggap beretika dan menepati prinsip tersebut?

Apa salah Abdul Khalid sehingga beliau yang bertanggungjawab memastikan rakyat terus memberi mandat kepada pakatan pembangkang mahu disingkirkan dengan begitu mudah tanpa sebarang sebab kecuali dakwaan-dakwaan yang belum tentu lagi kebenarannya?

Pemimpin DAP berhujah, Abdul Khalid perlu ingat bahawa beliau dilantik sebagai MB yang mewakili pakatan pembangkang, fakta ini sememangnya tidak boleh dinafikan tetapi pakatan berkenaan kekal di Selangor kerana kepimpinan Abdul Khalid, inilah mandat sebenar rakyat iaitu mahu Abdul Khalid terus menjadi MB mereka bukannya isteri sesiapa.

Selain itu, kalaulah betul pemimpin DAP dan PKR menekankan soal mandat rakyat, wajarkah mereka hendak membenarkan Anwar sewenang-wenangnya mahu melantik Wan Azizah menduduki kerusi MB? Bagaimana dengan mandat rakyat yang memberi kerusi kepada Pas lebih banyak berbanding PKR? Jika mahu akur sangat dengan mandat rakyat sepatutnya pemimpin daripada Pas yang menggantikan Abdul Khalid bukan Wan Azizah.

Wan Azizah bukannya rakyat Selangor tetapi terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang melalui satu pilihan raya kecil yang dirancang oleh suaminya. Dan kalau prinsip demokrasi mahu diperkatakan, apakah tindakan sengaja memungkinkan pilihan raya itu diadakan semata-mata untuk memenuhi nafsu politik seseorang pemimpin tidak bertentangan dengan prinsip berkenaan?

Dan demokrasi sangatkah pemimpin-pemimpin PKR apabila mereka merancang `Langkah Kajang' yang menyebabkan politik Selangor menjadi kucar-kacir sekarang tanpa berunding dengan sekutu mereka khususnya Pas?

Abdul Khalid sudah melakukan pemecatan keenam-enam exco itu secara beretika dan memenuhi prinsip-prinsip demokrasi apabila meminta perkenan Sultan Selangor serta memberi pilihan kepada mereka untuk terus bekerja dengan beliau atau meletak jawatan.

Tetapi seperti biasa, para pemimpin PKR dan DAP seolah-olah sering sahaja `mengajar' pengikut-pengikut mereka melakukan tindakan bertentangan. Ini termasuklah mengarahkan keenam-enam mereka tidak meletakkan jawatan dan dalam masa yang sama mahu Pas menunjukkan kesepakatan dalam pakatan pembangkang dengan memastikan keempat-empat Exco parti itu tidak menghadiri mesyuarat exco semalam.

Jika itu berlaku, pentadbiran kerajaan negeri di bawah Abdul Khalid akan `runtuh' memandangkan, beliau tidak mempunyai minimum empat orang exco bagi mentadbir Selangor.

Bagaimanapun Pas tidak mahu mengikut rentak PKR dan DAP, sebaliknya Pas akur dengan perkenan Sultan Selangor yang mahukan Abdul Khalid terus menjadi MB. Soal sama ada mereka akan mengekalkan Abdul Khalid atau tidak, ia hanya akan diputuskan Ahad ini melalui mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat.

Oleh itu, seperti mana kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, DAP tidak perlu mendesak Pas untuk menyatakan pendirian kerana buat masa ini Pas mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor tidak tergugat kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada rakyat.

Penulis difahamkan, Pas bukannya tidak bersetuju dengan penggantian Abdul Khalid, apatah lagi selepas beliau dipecat daripada PKR tetapi parti itu mahu melakukannya 'secara beretika dan mengikut prinsip-prinsip demokrasi', bukan ikut perasaan sahaja seperti amalan politik pemimpin-pemimpin PKR.

Berikutan itulah, Pas mahu DAP dan PKR bersabar dan tidak terkejar-kejar seolah-olah tidak mempercayai kesetiaan parti itu terhadap pakatan pembangkang apabila mengaitkan sokongan UMNO kepada Abdul Khalid.

Sememangnya PKR dan DAP tidak berhak memaksa Pas untuk mengikut telunjuk mereka apatah lagi dalam isu penyingkiran Abdul Khalid kerana sebelum ini tidak pernah pula kedua-dua parti itu bercakap soal solidariti dalam pakatan tetapi apabila sudah terdesak barulah semangat tersebut mahu dipaksakan ke atas Pas.

Sepatutnya, pemimpin kedua-dua parti itu faham, di Selangor, Pas bukanlah parti yang mengemis kuasa untuk berada dalam pentadbiran kerajaan negeri tetapi melalui prinsip demokrasi dan mandat rakyat, Pas mempunyai kerusi terbanyak bersama-sama DAP.

Jika prinsip itu benar-benar mahu dipegang oleh DAP dan PKR, serahlah kerusi MB kepada Pas apabila Abdul Khalid mahu digantikan. Kenapa mahu memaksa Pas mengikut sahaja kehendak kedua-dua parti itu seolah-olah Pas mempunyai suara minoriti di DUN?

Justeru boleh dirumuskan hujah-hujah pemimpin PKR dan DAP dalam usaha menyingkirkan Abdul Khalid hanya bermotif politik semata-mata, bukannya benar-benar berpegang kepada etika, prinsip demokrasi mahupun mandat rakyat.

Apa pun, kemelut politik di Selangor semakin meruncing segala-galanya akibat kegelojohan dan `rabun mata' pemimpin tertentu dalam PKR.

Ibarat gelagat Kassim Baba menemui harta karun dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, segalanya mahu dikaut dalam sekelip mata demi mencapai agenda peribadi biarpun kesudahannya ia membawa akibat yang buruk kepada rakyat dan negeri.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140814/re_05/Demi-mandat-rakyat-atau-politik#ixzz3ARecFBWn  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: