Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 7 August 2014

MH17 tumpuan Najib di Belanda

Oleh Saiful Haizan Hasam


AMSTERDAM 30 Julai - Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu akan terus diberi keutamaan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau mengadakan lawatan kerja khas ke negara ini bermula esok.

Lawatan kerja Perdana Menteri itu secara khusus adalah untuk mendapatkan perkembangan terkini proses penyiasatan dan pengecaman mangsa bencana (DVI) sekali gus membincangkan dan mengukuhkan kerjasama dalam isu berkenaan dengan kerajaan Belanda.

Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Dr. Fauziah Mohd. Taib (gambar) berkata, Perdana Menteri akan tiba di Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol pada pukul 8 pagi esok, waktu tempatan.

Beliau berkata, program pertama Najib bermula pada tengah hari melalui mesyuarat bersama Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte di pejabatnya di pusat pentadbiran The Hague.

Katanya, Perdana Menteri kemudiannya akan mengadakan sidang akhbar ringkas bersama Rutte sebelum menandatangani buku ucapan takziah.

"Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri dijangka membincangkan tentang jalinan kerjasama berterusan dalam isu MH17.

"Hal ini penting kerana operasi di tapak nahas di Ukraine masih berterusan manakala bangkai pesawat MH17 berada di sana, sebab itu kerjasama perlu berterusan dengan mengambil kira aspek tersebut," katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut serta dalam lawatan kerja Perdana Menteri ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini berkata, Najib akan menemui Rutte untuk membincangkan sama ada ahli patologi Malaysia dapat membantu bagi mempercepatkan proses pengecaman mayat mangsa.

"Kedua-dua Perdana Menteri juga akan membincangkan tentang memperoleh akses penuh ke tapak nahas supaya pasukan antarabangsa dapat menjalankan penyiasatan yang komprehensif bagi menentukan punca nahas dan siapa yang bertangggungjawab," kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, Perdana Menteri dan Rutte selepas itu akan ke pangkalan tentera Hilversum, lokasi mayat mangsa MH27 ditempatkan untuk proses DVI.

Sejurus sahaja tiba, kata Fauziah, Perdana Menteri akan meletakkan jambangan bunga bagi memperingati mangsa tragedi sekali gus muncul pemimpin dunia pertama yang berbuat demikian dan kerajaan Belanda amat menghargainya.

Katanya, di pangkalan tentera itu, Perdana Menteri akan diberi taklimat oleh Ketua DVI Pusat Krisis Kebangsaan Belanda, Arie De Bruin yang dibantu tiga anggota pasukan DVI dari Malaysia.

"Mereka akan memaklumkan status dan prosedur pengecaman dan dari situ akan dapat dijangka bila mayat mangsa warganegara Malaysia dihantar ke tanah air.

"Semua maklumat itu akan dimaklumkan oleh Perdana Menteri kepada keluarga mangsa di tanah air," katanya.

Program terakhir Perdana Menteri adalah majlis makan malam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama semua petugas dari Malaysia yang berada di sini bagi membantu melicinkan proses DVI mayat sebelum meninggalkan Amsterdam pada pagi Jumaat ini. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140731/dn_01/MH17-tumpuan-Najib-di-Belanda#ixzz39g5mfkB2  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: