Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 10 July 2014

WORLD CUP 2014 - Romero wira La Albiceleste


MAXI Rodriguez gembira selepas menyempurnakan Sepakan penalti terakhir untuk membawa Argentina melangkah ke perlawanan akhir di Arena Corinthians, Sao Paulo, pagi ini.

ARGENTINA hanya selangkah lagi untuk menamatkan badi 28 tahun tanpa kejuaraan Piala Dunia selepas mara ke final buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun, pagi ini.

Penjaga gol, Sergio Romero menjadi hero yang membawa La Albiceleste menempah pertemuan dengan Jerman selepas menyelamatkan dua tendangan lawan ketika mengecewakan Belanda menerusi sepakan penalti 4-2.

Selepas kedua-dua pasukan buntu mencari gol dalam 120 minit permainan, pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Romero menafikan sepakan Ron Vlaar, sebelum mengulangi kecemerlangan dengan menepis tendangan Wesley Sneijder untuk mengesahkan tiket akhir.

“Saya rasa sungguh hebat dan sangat gembira hingga sukar untuk digambarkan perasaan ketika ini.

“Sewaktu penentuan sepakan penalti, saya amat yakin dengan keupayaan diri biarpun sedar situasi seperti ini banyak dipengaruhi oleh nasib.

“Sekarang, saya mahu menikmati detik indah ini dahulu kerana bermula esok kami kena bekerja lebih keras untuk perlawanan akhir," ujar Romero.

Argentina merupakan pemilik dua kejuaraan Piala Dunia, namun kali terakhir mereka mendakap trofi berprestij itu adalah di Itali pada 1986.

Pertemuan akhir dengan Jerman di Rio de Janeiro, Isnin ini mengulangi final 1986 dan 1990.

Jika pada 1986 mereka menang 3-2, Jerman menebusnya dengan kemenangan 1-0, empat tahun kemudian.

“Kemenangan ini memberi makna yang besar.

“Ramai yang tidak percaya Argentina mampu melangkah ke final, tetapi hari ini kami buktikan tanggapan mereka itu salah," kata penyerang Argentina, Sergio Aguero yang turut menyempurnakan salah satu daripada empat sepakan pasukannya.

Dalam masa tambahan, Arjen Robben hampir menembusi gawang Argentina apabila melepasi benteng mereka dan melepaskan rembatan kencang pada minit ke-99, namun berjaya ditangkap kemas oleh Romero.

Saingan dilihat seimbang buat kedua-dua pasukan kerana Argentina menerusi pemain tengah, Maxi Rodríguez turut melakukan percubaan tepat, namun sepakan pemain itu agak lemah hingga mudah ditangkap penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen.

Sekiranya Argentina berjaya menumpaskan Jerman, mereka akan membawa pulang kejuaraan Piala Dunia ketiga selepas 1978 dan 1986.

Bagi Jerman pula, mereka turun dengan misi memburu gelaran keempat selepas meraih kejuaraan pada 1954, 1974 dan 1990.

“Saya sangat gembira kerana sebaik melangkah ke final, apa saja boleh berlaku.

“Seperti perlawanan sebelumnya, kami akan memberikan segala-galanya untuk cuba mencari kemenangan.

“Biarpun cuaca panas terus menjadi cabaran terbesar pemain, namun di peringkat sekarang, tiada apa yang mampu menghalang kami," kata pengendali Argentina, Alejandro Sabella.


No comments: