Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PENYERANG dari Argentina, Matias Ruben Conti (tengah) dari Argentina pasti akan memberi masalah kepada mana-mana barisan pertahanan pasukan yang menjadi lawan Pahang di peringkat Kumpulan A dalam pertandingan Piala Malaysia kelak.
KUALA LUMPUR - Ada pemerhati mengatakan ini kumpulan yang mudah buat juara bertahan, Pahang namun ada pula mengatakan persaingan kumpulan ini terbuka kepada keempat-empat pasukan.
Di atas kertas, selaku juara bertahan dan pemenang Piala FA, skuad Tok Gajah sememangnya menjadi pilihan utama untuk menjuarai kumpulan ini dengan satu lagi slot dijangka menjadi rebutan antara Lions XII atau Felda United sementara JDT II bakal memegang watak pengacau.
Namun, magis saingan Piala Malaysia selalunya akan menghidangkan cerita berlainan dan lihatlah apa yang terjadi pada musim lalu. Selangor yang bergelar naib juara Liga Super menerima malu apabila menghuni tangga tercorot Kumpulan A di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby dan Johor, sekali gus membuktikan persaingan untuk merebut trofi bola sepak tertua di Malaysia ini boleh menyebabkan berlaku keputusan diluar dugaan.
Mengekalkan hampir 90 peratus pemain musim lalu, Pahang mempunyai sebuah skuad yang dianggap paling serasi kerana kebanyakan anggotanya telah beraksi bersama selama beberapa musim.
Dipertajamkan dengan kehadiran dua tonggak import di barisan serangan yang saling melengkapi antara satu sama lain, Dickson Nwakaeme dan Matias Conti, bukan sesuatu yang mudah buat mana-mana pertahanan lawan untuk mengunci pergerakan kedua-dua pemain ini di dalam kawasan penalti.
Gabungan kedua-dua penyerang ini telah menjaringkan 15 daripada 36 gol skuad Pahang dalam saingan Liga Super di samping turut dibantu kekuatan di bahagian sayap yang diterajui R. Gopinathan (kiri) dan Azamuddin Akil serta R. Surendran (kanan). Kelebihan jentera serangan yang dimiliki Tok Gajah jelas dicemburui oleh pihak lawan selain pengalaman Zainal Abidin Hassan menjadi pertaruhan.
Bekas juara Liga Super musim lalu, Lions XII yang sekadar menamatkan saingan di tangga kelapan pasti mahu menebus maruah yang tercalar dalam aksi Piala Malaysia walaupun skuad yang dimiliki oleh Fandi Ahmad pada kali ini dilihat kurang kemampuan untuk memberi cabaran.
Hilang beberapa pemain berpengalaman seperti Shahril Ishak, Fazrul Nawaz dan Hariss Harun, ramai pemain muda Lions XII dilihat tidak konsisten dalam persaingan Liga Super dan Fandi jelas memerlukan satu formula baru untuk meniupkan keyakinan di kalangan para pemain.
Hanya meraih dua kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir di Liga Super, pasukan dari negara jiran itu jelas sedang dirundung masalah prestasi dan beraksi di Stadium Jalan Besar bukan satu jaminan apabila menyaksikan mereka banyak dikecewakan oleh pasukan lawan pada musim ini.
Kembali menjadi penghuni Liga Super pada musim hadapan, Felda United memiliki ramuan yang mencukupi untuk diletakkan antara skuad yang perlu diberi perhatian dalam Piala Malaysia selepas hampir mencipta sejarah di pentas Piala FA selain menyingkirkan dua pasukan Liga Super, Sarawak (suku akhir) dan Kelantan (separuh akhir).
Dibekalkan begitu ramai bintang berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin, Shukor Adan dan Shahrulnizam Mustapa, Felda juga cukup bertuah dikendalikan oleh Irfan Bakti yang bukan sahaja bijak merencanakan taktikal pasukan namun dalam soal pemilihan pemain import apabila berjaya mendapatkan bintang berkualiti seperti Edward Junior Wilson dan Yaroslav Krushelnitskiy.
Jika diselitkan sedikit dengan elemen tuah, Felda mampu mengambil salah satu slot ke suku akhir malah tidak keterlaluan The Fighters boleh menjuarai Kumpulan A andai mampu menjinakkan Pahang.
JDT II yang layak melalui perlawanan play-off apabila menewaskan PKNS pasti mahu membuktikan kehadiran di Piala Malaysia bukan dibantu atas faktor nasib semata-mata selain mahu mencuri perhatian para peminat bola sepak Johor yang pasti banyak tertumpu kepada JDT selepas memenangi Liga Super.
Banyak bergantung kepada kreativiti Shahril Ishak, See Kok Luen dan kepantasan Azniee Taib dalam merencanakan serangan, JDT II pasti boleh sedikit tersenyum kerana kehadiran semula Zaquan Adha Abdul Razak di bahagian hadapan selepas berehat panjang.
Cuma sedikit masalah buat JDT II adalah tonggak-tonggak import mereka kurang menyerlah seperti mana Braulio Nobrega Rodriguez yang pernah beraksi bersama Atletico Madrid dan Getafe, hanya mampu meledak lapan jaringan dalam Liga Perdana manakala aksi pemain tempatan kadang kala dilihat lebih baik berbanding Nicolas Delmonte dan Juan Manuel Carrasco.
Sedikit mustahil buat JDT II meloloskan diri ke suku akhir namun jika mereka boleh menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri, JDT II yang turut mendapat nama jolokan Harimau Selatan boleh membuat kejutan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140716/su_02/Persaingan-penuh-muslihat#ixzz37mjLD2Jk © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment