BASTIAN Schweinsteiger kelihatan begitu puas dapat mencium Piala Dunia setelah berhempas pulas dan mengalami kecederaan, termasuk luka di sebelah kanan muka dalam perlawanan akhir menentang Argentina semalam. - REUTERS
RIO DE JANEIRO - Berdarah dan lebam, itulah pengorbanan yang dilakukan oleh Bastian Schweinsteiger demi peminat setia Jerman selepas menyaksikan detik bersejarah apabila menjadi pasukan Eropah pertama menjulang Piala Dunia di Amerika Selatan.
Jerman berjaya menuntut gelaran mereka yang keempat selepas pemain gantian, Mario Goetze menjaringkan gol kemenagan pada minit ke-113 ketika mengecewakan Argentina 1-0 di Stadium Maracana.
Pemain tengah, Schweinsteiger berkata, kata-kata sokongan yang diberikan oleh peminat setia menjadi pemangkin kepada pasukannya dalam memburu gelaran tersebut.
"Kami menikmati setiap detik tersebut kerana ia sukar dipercayai," katanya yang berjaya merangkul gelaran juara Piala Dunia buat kali pertama selepas sedekad beraksi bersama skuad Die Mannschaft.
"Terima kasih kepada seluruh rakyat Jerman kerana sokongan yang diberikan kerana kami dapat rasakan bahawa kalian sentiasa berada di belakang kami.
"Ia merupakan persembahan di luar jangkaan namun bagaimana dia (Goetze) melakukannya adalah sesuatu yang saya sendiri tidak pernah alami.
"Ia memberikan kami kekuatan dan disebabkan itu kami memenangi Piala Dunia," katanya.
Terdapat beberapa pergelutan di antara bintang Bayern Munich, Scweinsteiger bersama pemain tengah Argentina, Lucas Biglia dan Javier Mascherano sehingga mencederakannya.
Dia kelihatan menukar posisi sebanyak dua kali dengan menjadi pemain tengah pertahanan apabila Sami Khedira mengalami kecederaan di paha manakala Christoph Kramer terpaksa dikeluarkan pada minit ke-31 selepas cedera di kepala.
Schweinsteiger kelihatan menahan kesakitan di pergelangan kaki kirinya selepas menerima terjahan keras dari belakang pada minit ke-102 oleh Mascherano.
Kemudian dia sekali lagi menerima terjahan daripada Biglia dan Mascherano.
Bintang Bayern Munich itu menerima rawatan di mukanya selepas bergelut untuk mendapatkan bola bersama penyerang Manchester City, Sergio Aguero pada minit ke-110.
Sebelum itu, pemain berusia berusia 29 tahun itu menjalani dua pembedahan dan menderita akibat tendinitis di bahagian lutut pada penghujung musim, bermakna dia akan menghadapi kesukaran di Piala Dunia namun dengan beraksi cemerlang ketika menjadi pemain gantian semasa seri 2-2 bersama Ghana dalam perlawanan peringkat Kumpulan G telah memberinya peluang untuk terus bermain. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140715/sl_07/Lebam-dan-luka-Schweinsteiger-berbaloi#ixzz37iNf9GOB © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment