Dora Shahila Kassim
KUALA LUMPUR 18 Julai - Keluarga ketua pramugari MH17, Dora Shahila Kassim, 47, tidak menyangka gurauan wanita itu mengenai pesawat yang dinaikinya akan ditembak menjadi kenyataan.
Don Shahidan Kassim berkata, dia masih teringat gurauan adiknya itu ketika mereka sekeluarga pergi bercuti di Bali, Indonesia baru-baru ini.
Sewaktu sedang bersarapan di sana, kami sekeluarga ada berbual tentang nasib pesawat MH370 dan Dora Shahila secara bergurau mengatakan jika dia menaiki pesawat yang membawa muatan berharga, ada kemungkinan pesawat tersebut akan ditembak.
Saya yang tidak menyenangi gurauan seperti itu terus bertanyakan sebab dia berkata demikian, namun Dora hanya tersenyum. Seluruh keluarga betul-betul tidak menyangka ia benar-benar terjadi kepadanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), di sini hari ini.
Dora Shahila yang merupakan salah seorang daripada 15 krew pesawat MH17 yang terhempas dipercayai ditembak jatuh di Ukraine, petang semalam.
Tambah Don Shahidan, anak adiknya, Nurdiyana Yazeera Yazli, 15, yang kini berada di asrama Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan masih tidak mempercayai berita tersebut dan tidak mahu pulang ke rumah selagi tidak dijemput oleh ibunya.
Dora Shahila seorang yang pandai bergurau, penyayang dan sangat komited dengan kerjanya namun tegas terhadap anak tunggalnya itu.
Sudah lebih 20 tahun dia bersama Malaysia Airlines (MAS). Sukar untuk mempercayai apa yang telah berlaku apatah lagi saya baru saja menemuinya Isnin lalu," katanya.
Sementara itu, adik Dora Shahila, Darlina Kwan Kassim, 35, berkata, dia juga tidak menyangka percutian bersama keluarga di Bali, Indonesia baru-baru ini adalah yang terakhir buat mereka.
Semua adik beradik bersetuju bercuti bersama-sama di sana, hanya saya yang belum memberi kata putus tetapi selepas dia menghubungi dan bergurau mengatakan itu percutian terakhirnya bersama kami, akhirnya saya bersetuju menyertai percutian itu," jelasnya yang juga seorang pramugari MAS.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140719/dn_24/Gurauan-pesawat-ditembak-jadi-kenyataan#ixzz3840fwKKT © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment