Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my
LIOW Tiong Lai (tengah) bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kiri) dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari mengadakan sidang akhbar di Hotel Sama Sama di Sepang, Selangor, semalam. - MINGGUAN/Riduan Rizal Ahmad
SEPANG 19 Julai - Malaysia hari ini merayu dan menyeru sokongan daripada masyarakat antarabangsa untuk membolehkan pasukan dari Kuala Lumpur memasuki lokasi tragedi pesawat MH17 di timur Ukraine dengan secepat mungkin.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Kuala Lumpur setakat ini belum diberikan akses kepada lokasi nahas yang dikawal oleh kumpulan pemisah.
Tiong Lai berkata, beliau sendiri akan berlepas ke Ukraine pada malam ini untuk mendapatkan akses ke kawasan tragedi supaya mayat penumpang yang terkorban dalam tragedi tersebut dapat dikumpul dan dibawa pulang.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menghubungi pemimpin-pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon untuk mendapat sokongan mereka berhubung perkara itu.
"MH17 telah menjadi isu geopolitik tetapi jangan lupa bahawa ia merupakan satu tragedi manusia.
"Sebanyak 298 penumpang dari 11 negara yang tidak terlibat dalam konflik di timur Ukraine pada masa ini tidak dapat bersemadi, mereka dibunuh secara ganas dan keganasan menafikan mereka daripada diberi penghormatan terakhir," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Tiong Lai berkata, satu pasukan Malaysia telah sampai ke Ukraine pada hari ini dan Malaysia telah dijanjikan koridor selamat ke lokasi tragedi oleh Ukraine.
"Saya berharap usaha Malaysia untuk masuk ke kawasan tragedi akan dapat dipercepatkan dengan kehadiran saya di Ukraine," katanya.
Tiong Lai berkata, sebarang usaha untuk mengusik serpihan dan tinggalan pesawat MH17 atau halangan untuk Malaysia memasuki lokasi nahas adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima.
"Malaysia ambil berat bahawa tempat tragedi tidak dijaga dengan baik dan integriti lokasi telah dikompromikan, terdapat petunjuk bahawa bahan bukti penting tidak dilindungi dengan sempurna.
"Sebarang usikan ke atas tempat nahas akan menjejaskan siasatan dan menghalang kita daripada mengetahui kebenaran.
"Kegagalan untuk menghalang usikan atau campur tangan seperti ini merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap jiwa-jiwa yang terkorban," katanya.
Tiong Lai berkata, Kuala Lumpur justeru menggesa semua pihak terlibat untuk melindungi integriti lokasi nahas di timur Ukraine.
"Kita menggesa semua pihak terlibat menghormati ahli keluarga yang kehilangan anak dan orang kesayangan dalam serangan ini," katanya.
Ditanya pemberita apakah perasaan Malaysia mengenai kejadian pesawat MH17 yang mungkin ditembak jatuh, Tiong Lai berkata, Kuala Lumpur berasa sedih, sakit hati dan marah terhadap apa yang berlaku.
"Kita perlu menghargai nyawa, keganasan mesti dihentikan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140720/dn_05/Kuala-Lumpur-perlu-sokongan-dunia#ixzz384LeDD00 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment