Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 21 July 2014

MH17 - Bapa terkilan hajat anak raikan kelahiran ibu tak kesampaian


Hasni Hardi

SEGAMAT 18 Julai - Bapa seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terkilan kerana hajat anaknya untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran ibunya di sebuah restoran di Melaka tidak kesampaian.

Parlan Masiran, 60, bapa kepada Hasni Hardi, 32, berkata, mang­sa yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu berjanji dengan ibunya, Asiah Rajikun, 56, untuk sama-sama menyambut hari lahir.

“Sebenarnya, hari ini merupakan hari lahir isteri saya manakala 9 Julai lalu merupakan hari lahir arwah. Kami terutamanya arwah sudah merancang untuk menyambutnya di Melaka pada petang ini.

“Sepatutnya arwah mendarat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi ini dan seperti biasa dia akan mengambil limousin terus dari KLIA ke rumah kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Alam 2, di sini hari ini.

Menurutnya, Hasni yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan marin sudah bekerja selama 10 tahun sebagai jurutera gas di sebuah syarikat perkapalan antarabangsa di United Kingdom (UK) dan pulang bercuti ke Malaysia setiap tiga bulan sekali selepas tiga bulan belayar di lautan.

“Dia mempunyai diploma Akademi Laut Malaysia (Alam) dan sebelum memasuki Alam, semua tawaran universiti ditolaknya sehingga membuatkan saya dan isteri risau.

“Hasni juga kerap menghubungi ibunya dan kali terakhir dia menghubungi kami semalam sebelum berlepas dari Amsterdam. Dia kata rindu sangat-sangat ibunya dan kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya, jika pulang bercuti selama tiga bulan, arwah lebih kerap menghabiskan masa di rumah dengan membaca buku dan kali terakhir dia pulang bercuti ke Malaysia ialah pada pertengahan April lalu serta pernah menyuarakan hasrat berhenti kerja dan menetap di tanah air.

Parlan dalam pada itu berkata, dia menerima panggilan daripada rakan sekerja anaknya dari Pulau Pinang memaklumkan kejadian tersebut kira-kira pukul 1 pagi ini.

“Rakan arwah itu tinggal di Pulau Pinang dan dia sudah pulang ke Malaysia sebelum arwah. Dia menerima panggilan daripada majikannya di luar negara bahawa kapal terbang yang dinaiki Hasni telah terhempas dan meminta menghubungi saya.

“Saya terus membuka televisyen dan jantung bagai mahu gugur apabila berita tentang kejadian tersebut disiarkan," katanya.

Sementara itu, Parlan berkata, walaupun bersedih, dia sekeluarga reda dengan apa yang berlaku tambahan pula di bulan Ramadan.

Dia juga berharap pihak yang bertanggungjawab ditangkap dan segera dihadapkan ke muka pe­ngadilan untuk menerima hukuman yang setimpal.

“Hari lebaran tahun ini tidak bermakna buat kami sekeluarga kerana kejadian ini telah meragut semangat untuk menyambutnya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140719/dn_25/Bapa-terkilan-hajat-anak-raikan-kelahiran-ibu-tak-kesampaian#ixzz3842FD2WP  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: