Oleh Mohd. Hazli Hassan
ORANG ramai menyertai Himpunan Solidariti Gaza dengan bergerak dari Masjid Asy Syakirin, KLCC menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak bagi menyatakan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ ADAM AMIR HAMZAH (PELATIH IKBN)
KAHERAH, Mesir 18 Julai - Perjalanan 11 orang anggota Misi Bantuan Aman Palestin ke Gaza kemungkinan menghadapi jalan sukar ekoran situasi semasa yang sedang berlaku di Gaza, Palestin ketika ini.
Pengurus Aman Palestin Mesir, Qamarul Naim Mohd. Faizal berkata, rejim Zionis dimaklumkan sudah bersiap sedia mahu menyerang Genting Gaza dalam tempoh terdekat.
Setakat ini semua permit yang diperlukan sudah kami peroleh dan pergerakan anggota misi bantuan sudah diluluskan. Tetapi itu hanyalah di atas kertas.
Ketika ini Mesir semakin mengetatkan perjalanan ke Rafah dengan ratusan pusat pemeriksaan dan jika keadaan tidak mengizinkan, kemungkinan anggota misi bantuan akan berpatah balik ke Kaherah, malah Gaza juga akan menutup pintu sempadan jika serangan rejim Zionis berlaku kerana mereka tidak mahu menyusahkan pasukan bantuan rakyat asing.
Apa pun kita berserah kepada Allah dan memohon rakyat Malaysia mendoakan perjalanan anggota misi bantuan Aman Palestin berjalan lancar dan dapat memasuki Gaza dengan selamat," katanya kepada pemberita Malaysia selepas menyambut ketibaan anggota Misi Bantuan Aman Palestin ke Gaza di Lapangan Terbang Kaherah di sini hari ini.
Anggota misi bantuan yang diketuai oleh Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab itu turut disertai lima doktor pakar termasuk Pakar Ortopedik, Dr. Mohamad Nor Sundari dan Dr. Zairul Nizam Zainol Fitri; pakar bius, Dr. Mafeitzal Mamat dan Dr. Hasbe Zuraina Abu Bakar serta pakar trauma, Dr. Kamarul Al-Haq Abdul Ghani bersama-sama lima petugas media Malaysia.
Dalam pada itu, Anas turut berkata, Aman Palestin terpaksa membeli ubat-ubatan di Kaherah untuk misi bantuan ini dan akan dibawa bersama esok.
Kita memperuntukkan sekitar RM10,000 hingga RM20,000 untuk membeli ubat-ubatan berkenaan dan akan dibawa masuk bersama-sama anggota misi bantuan.
Selain kita, anggota misi bantuan Eropah Miles for Smiles akan turut bersama-sama kita untuk memasuki Gaza. Untuk pengetahuan, mereka sudah berada di Kaherah selama tiga minggu dan gagal memasuki Gaza sebanyak tiga kali, jadi mereka memohon untuk masuk bersama kita esok," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Qamaril Naim berkata, Hospital As Shifa yang merupakan hospital terbesar di Gaza City dibedil tentera Zionis sehingga memusnahkan sebahagian daripada hospital berkenaan.
Ketika ini semua pesakit sudah dikeluarkan namun para doktor masih memberikan bantuan kecemasan kepada mereka yang cedera. Setakat saya bercakap ini sudah 260 penduduk Gaza syahid manakala 2,000 pula cedera hasil kekejaman Israel," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140719/dn_27/Aman-Palestin-hadapi-misi-sukar#ixzz3845zSeCN © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment