Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 17 July 2014

WORLD CUP 2014 - Messi kecewa gagal bantu Argentina


PENYERANG Argentina Lionel Messi menendang bola tepat ke arah penjaga gol Jerman Manuel Neuer semasa aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2014 di Stadium Maracana di Rio de Janeiro, semalam. - AFP

RIO DE JANEIRO - Meskipun menerima anugerah Bola Emas namun ketua pasukan Argentina, Lionel Messi nyata kecewa selepas gagal membantu pasukannya untuk menjulang trofi Piala Dunia edisi kali ini.

Selepas wisel penamat dibunyikan di Stadium Maracana dengan pemain Jerman memenuhi dan bergembira di kawasan padang, Messi diumumkan selaku pemain terbaik kejohanan dan dia kemudiannya naik ke pentas untuk menerima hadiah dan memberikan senyuman yang kelihatan dipaksa-paksa.

"Sejujurnya, saya tidak begitu berminat dengan anugerah ini," katanya.

Pele, Zinedine Zidane dan Ronaldo sebelum ini menjaringkan gol sensasi di pentas akhir Piala Dunia manakala Diego Maradona mencipta gol dengan gaya tersendiri untuk menamatkan kejohanan 1986 tetapi Messi terpinggir menerusi jaringan sensasi Mario Goetze pada masa tambahan bagi memastikan Jerman muncul juara untuk kali keempat.

Dia sudah pasti akan dihantui rasa bersalah selepas gagal menyempurnakan peluang pada awal babak kedua apabila hanya perlu menewaskan penjaga gol, Manuel Neuer untuk mencipta jaringan tetapi percubaannya tersasar jauh.

Kini Messi mengharungi empat perlawanan tanpa sebarang jaringan untuk kali pertama di bawah kendalian Alejandro Sabella.

"Ini merupakan kejohanan yang sukar dan memberikan tekanan kepada semua orang secara fizikal. Dia merupakan antara pemain terbaik sepanjang zaman," kata Sabella.

Sehingga kini Messi sudah menjaringkan 354 gol dalam 425 perlawanan bersama Barcelona dan kecemerlangan itu tidak dapat dinafikan tetapi kejayaan di pentas Piala Dunia yang didambakan semua pemain termasuk Messi.

"Saya sanggup berikan segala kejayaan peribadi saya untuk menjadi juara dunia. Saya lebih gembira untuk menang Piala Dunia berbanding Ballon d'Or.

"Sebagai pemain, menjuarai Piala Dunia adalah perkara terbesar. Itu merupakan impian setiap pemain sejak dari zaman remaja dan tidak pernah pudar," kata Messi kepada akhbar tabloid Jerman, Bild.

Ketika ribuan peminat Argentina di Stadium Maracana menantikan kejayaan pasukan mereka, Messi memperoleh peluang keemasan selepas menerima hantaran Lucas Biglia tetapi percubaannya ke bahagian kanan tersasar jauh.

Peluang terakhir Argentina muncul pada penguhujung masa tambahan, namun sepakan bebas Messi dari jarak 30 meter melewati palang, sekali gus memusnahkan impian pasukan dari Amerika Selatan itu.

Dia akan berusia 31 tahun apabila Piala Dunia berlangsung di Rusia dan mungkin tidak akan mendapat peluang lebih baik untuk memenanginya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140715/sl_02/Messi-kecewa-gagal-bantu-Argentina#ixzz37iHLOJrA  © Utusan Melayu (M) Bhd 







No comments: