HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kiri) turut bersedih ketika bersama keluarga mangsa nahas MH17 di Hotel Marriot Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 19 Julai - Pasukan bantuan dari Malaysia yang telah berangkat ke Kiev, Ukraine malam tadi diharap dapat memasuki ke kawasan pesawat MH17 terhempas di Grabovo, Donestk dengan selamat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setakat ini usaha untuk memasuki ke kawasan itu masih dalam proses memandangkan ia terletak di bawah penguasaan puak pemisah.
Katanya, tindakan selanjutnya kini bergantung kepada perbincangan diplomasi yang akan diadakan antara pihak kerajaan yang diwakili oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan pihak-pihak berkaitan.
"Perlu bincang dengan pendekatan diplomasi kerana kita tahu kawasan itu dikuasai oleh puak pemisah. Banyak bergantung kepada hasil perbincangan oleh Tiong Lai di Kiev nanti," katanya kepada pemberita selepas menemui keluarga penumpang dan kru MH17 di sini hari ini.
Tiong Lai dijadual ke Ukraine malam ini untuk menyertai siasatan tragedi MH17.
Dalam pada itu Hishammuddin sekali lagi menggesa mana-mana pihak tidak mengganggu kedudukan serpihan MH17 bagi memudahkan siasatan dijalankan sekali gus dapat mengetahui punca kejadian itu berlaku.
"Dengan kata lain kita mahu kawasan nahas ini tidak diganggu gugat," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, Malaysia telah meminta kerajaan Ukraine menjalin kerjasama dengan puak pemisah untuk memastikan pasukan bantuan tersebut dapat memasuki kawasan nahas.
Jelasnya, pasukan berkenaan akan mengalami kesukaran untuk memasuki Grobovo memandangkan lokasi tersebut terletak kira-kira 500 kilometer dari Kiev.
"Kami meminta mereka berbincang dengan puak pemisah untuk sekurang-kurangnya memberi kita masuk dan membawa keluar kesemua mayat,'' katanya
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140720/dn_07/Harap-pasukan-penyelamat-dapat-masuk-dengan-selamat#ixzz384NNhbUA © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment