Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 21 July 2014

Perutusan khas Perdana Menteri mengenai nahas MH17



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.

Semalam, hari Khamis, 17 hari­bulan Julai 2014, dunia secara am dan khususnya kita rakyat Malaysia, telah dikejutkan dengan tragedi tidak diduga, apabila pesawat komersial Boeing 777-222 Malaysia Airlines penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah diberitakan terhempas di kawasan Timur Ukraine.

Penerbangan tersebut dilaporkan telah berlepas pada jam 12.15 tengah hari waktu tempatan dan dijadualkan tiba di KLIA pada jam 6.10 pagi waktu Malaysia. Pesawat berkenaan membawa sejumlah 298 orang yang terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. 43 orang daripadanya merupakan warganegara Malaysia termasuklah 2 orang bayi.

Pihak Malaysian Airlines telah mengesahkan menerima makluman daripada Pusat Kawalan Trafik Udara atau ATC, Ukraine yang ia terputus hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 10.15 malam waktu Malaysia, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.

Justeru, bagi pihak kerajaan, saya menzahirkan perasaan sangat dukacita dan pilu terhadap peris­tiwa tragik yang menimpa para penumpang serta anak-anak kapal tersebut.

Jadinya, kerajaan ingin mera­kamkan ucapan takziah dan belasungkawa juga simpati yang amat mendalam kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan mangsa-mangsa tragedi. Makanya, diharapkan kepada semua, agar cekalkan semangat dan tabah menempuh dugaan amat berat ini.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian.

Sekalipun pesawat MH17 itu dipercayai ditembak jatuh, namun buat masa ini, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat diabsahkan.

Walau apapun, kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab itu.

Selanjutnya, sebagai menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia, maka saya selaku Perdana Menteri, memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian.

Hendaknya, dalam menghadapi situasi yang sangat mencabar ini, bersempena pula dengan keberkatan dan kelebihan hari-hari terakhir dalam bulan Ramadan yang mulia, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia, terutama bagi yang beragama Islam, tidak kira latar pendirian politik, untuk mengadakan solat hajat, terus bermunajat serta berdoa kepada Allah SWT, agar Malaysia yang tercinta ini sentiasa selamat sejahtera, dijauhi daripada bala bencana, musibah atau segala ancaman yang boleh memporak-perandakan negara.

Kepada rakyat Malaysia yang menganut agama-agama lain pula, digalakkan untuk mengadakan sembahyang dan upacara keagamaan mengikut kepercayaan ma­sing-masing.

Dalam perkara ini, kerajaan te­lah memutuskan untuk mengisy­tiharkan bermula pada malam ini sehingga hari Isnin, 21 Julai 2014, bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara. Saya juga telah menyembah maklum perkara ini kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Perlu diketahui juga, saya difahamkan bahawa kawasan berlakunya kejadian tersebut, dikuasai serta dikawal oleh pasukan pemberontak. Oleh itu, kita sedang membuat pelbagai usaha, terma­suk saluran diplomatik dan hubungan baik Malaysia dengan negara-negara berkenaan supaya pasukan penyiasat dapat menjalankan tugasan mereka dan urusan pengurusan mangsa dapat berjalan dengan lancar.

Pertama, Kerajaan Malaysia menuntut agar pihak-pihak yang terbabit, mestilah menjamin dan memastikan keselamatan pasukan penyiasat sepanjang operasi ini dijalankan.

Kedua, Kerajaan Malaysia juga mendesak pihak-pihak berkenaan agar tidak mengganggu dan mencemari bukti-bukti di tempat kejadian supaya kerja-kerja penyiasatan dapat dilakukan secara telus dan berkesan.

Ketiga, jika siasatan membuktikan pesawat MH17 tersebut ditembak jatuh, Malaysia menuntut agar pihak yang bertanggungjawab dibawa terus ke muka pengadilan.

Ketiga-tiga tuntutan ini telah saya maklumkan hari ini, kepada Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon. Saya juga telah meminta Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk memberi segala kerjasama bagi mencapai hasrat tersebut.

Malah, pada petang tadi, kita telah menghantar sebuah pesawat yang membawa pasukan khas, terdiri daripada pasukan SMART, kumpulan perubatan dan Jakim ke kawasan bencana.

Rakyat Malaysia Yang dikasihi Sekalian.

Kesimpulannya, pada detik-detik dan saat-saat yang mencarik perasaan dan sanubari serta sungguh mencabar ini, marilah kita bersatu hati, mengukuhkan semangat perpaduan sesama kita, demi menghadapi kejadian yang menyayatkan ini. Semoga Allah memberi pertolongan-Nya kepada ikhtiar-ikhtiar kita untuk melalui semuanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140719/dn_08/Perutusan-khas-Perdana-Menteri-mengenai-nahas-MH17#ixzz383edpjjh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: