Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
SITI Dina tidak dapat menahan kesedihan apabila dikerumuni wartawan ketika keluar dari Anjung Tinjau,KLIA, Sepang, semalam.-UTUSAN/RASHID MAHFOF
SEPANG 18 Julai - Seorang ibu terkejut apabila anak, menantu dan tiga cucunya antara 298 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas akibat ditembak di timur Ukraine malam tadi.
Lebih menyedihkan, Datin Siti Dina, 60, hanya mengetahui berita tragis berkenaan menerusi televisyen.
Menurut Siti Dina, anak perempuannya yang bernama Shaliza Zaini Dewa bersama suami dan tiga cucu berlepas dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur untuk transit sebelum terbang ke Melbourne, Australia.
Anak saya menetap di Melbourne pada asalnya balik ke kampung suami yang merupakan warga Belanda bersama anak-anaknya untuk beberapa hari.
Saya tidak tahu langsung sehingga malam tadi menonton berita terkini saluran CNN yang melaporkan nahas pesawat MH17 itu," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Namun bagi Siti Dina, beliau hanya berserah kepada Ilahi berhubung nasib lima ahli keluarganya sama ada selamat atau sebaliknya.
Saya reda apa yang terjadi namun hati ini masih mengharapkan semua selamat," katanya.
Di Sarawak pula, Bernama melaporkan Jamilah Noriah Abang Aji Anuar, 72, terlalu sebak untuk bercerita mengenai anaknya, Ariza Ghazalee, 46, menantunya, Tambi Jiee, 49, bersama keempat-empat anak mereka.
Dengan suara tersekat-sekat beliau memberitahu anak, menantu bersama cucu-cucunya itu dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas lebih tiga tahun berada di luar negara.
Katanya, anaknya mengikuti suami yang bertugas dengan sebuah syarikat milik Shell di Kazakhstan dan suami anaknya itu baru mendapat kebenaran berpindah tempat kerja dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur.
Katanya, sebelum ini anaknya begitu ceria hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri di tanah air, malah sudah mula menempah baju warna sedondon putih untuk hari lebaran nanti.
Menurutnya, pengesahan mengenai anaknya sekeluarga menjadi penumpang pesawat itu hanya diperoleh awal pagi ini dan hatinya bertambah sebak menyaksikan cebisan pesawat berselerak disiarkan di televisyen.
Ariza merupakan anak kedua daripada lima beradik mengambil cuti tanpa gaji selama tiga tahun daripada tugasnya sebagai jurutera di Bintulu untuk bersama suaminya di Kazakhstan.
Kakak Ariza, Madzalina Ghazalee, 47, berkata, pada awal pagi ini, keluarganya mendapat maklumat dan pengesahan daripada MAS mengenai adiknya bersama keluarga adalah penumpang pesawat malang berkenaan.
Katanya, Ariza bersama suami dan anak-anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 19, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13, dijadual tiba di Kuala Lumpur awal pagi ini dan berlepas ke Kuching tengah hari, untuk sampai di sini kira-kira 2 petang ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140719/dn_15/Hilang-anak-menantu-cucu#ixzz383qYUt9h © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment