PARA peminat berasak-asak untuk menyambut dan mengambil gambar pemain-pemain Jerman yang dibawa ke tengah Berlin dengan menaiki bas untuk majlis sambutan kepulangan mereka dari Brazil dan kejayaan menjadi juara Piala Dunia setelah menumpaskan Argentina, semalam. - REUTERS
BERLIN - Lebih 250,000 penyokong berkumpul di Gerbang Brandenburg untuk menyambut kepulangan juara Piala Dunia 2014 - skuad Die Mannschaft membawa pulang trofi tersebut buat kali pertama untuk Jerman sejak negara itu bersatu.
Para penyokong mula memenuhi tengah Berlin sebelum subuh dan mereka yang mengibarkan bendera kemudiannya memberikan tepukan gemuruh setelah skrin besar menunjukkan kapal terbang yang membawa pemain Jerman dari Rio de Janeiro mendarat di lapangan terbang Tegel.
Ketua pasukan, Philipp Lahm adalah pemain pertama yang muncul di pintu kapal terbang tersebut sambil mengangkat trofi Piala Dunia dengan satu tangan ke arah penyokong yang memberikan tepukan gemuruh.
Pemain tengah, Bastian Schweinsteiger dengan bendera Jerman di bahunya mengikuti Lahm turun dari kapal terbang dan petugas lapangan terbang mengambil kesempatan untuk mengambil gambar wira mereka menggunakan telefon bimbit.
"Ini merupakan majlis yang bersejarah," kata seorang pemandu bas, Bernd Hesse, 34, yang dapat mengikuti semula perlawanan di Brazil menerusi radio ketika memandu.
Dia mengingatkan bahawa peminat Jerman telah menanti untuk meraikan kegembiraan menjadi juara Piala Dunia selama 24 tahun, yang pertama sejak Jerman bersatu setelah sebelum ini Jerman Barat menang sebanyak tiga kali.
Seorang eksekutif pengiklanan, Lydia Lampa yang memakai jersi Jerman dengan empat bintang sambil menghiaskan bunga plastik gaya Hawaii pula berkata, situasi sebegitu jarang berlaku dan dia tidak terlepas daripada menonton kesemua perlawanan pasukannya sepanjang kejohanan berlangsung.
"Ini merupakan cara saya berterima kasih kepada mereka (Jerman). Kesemua perlawanan adalah amat menarik dan saya mahu melihat kesemua pemain sekurang-kurangnya sekali dalam hidup saya.
"Saya mempunyai firasat baik sejak bermulanya kejohanan tersebut dan saya fikir, 'OK, kali ini kami akan memenanginya'," katanya.
Para pemain menaiki sebuah bas berwarna hitam untuk dibawa ke tengah Berlin.
Selepas bertemu dengan Datuk Bandar, Klaus Wowereit, mereka mengambil tempat di pentas gergasi di Gerbang Brandenburg, iaitu simbol penyatuan Jerman sejak Jerman Barat dan JermanTimur menamatkan perang dingin sesama mereka pada 1990.
Itu merupakan tahun terakhir Jerman Barat menjuarai kejohanan tersebut dan kemenangan 1-0 Jerman ke atas Argentina dalam perlawanan akhir kelmarin menjadi sejarah buat negara itu yang mewakili barat dan timur yang sebelumnya dikuasai komunis untuk membawa pulang trofi kejuaraan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140716/sl_02/Kepulangan-Jerman-disambut-ribuan-peminat#ixzz37mboXEnF © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment