Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 18 July 2014

Sultan Sharafuddin murka

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

SULTAN Sharafuddin Idris Shah ketika bertitah dalam Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang, Selangor, semalam. - Utusan/RASHID MAHFOF

SEPANG 15 Julai - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini amat kesal dan kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Pas, Khalid Samad yang mencadangkan kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Menurut baginda, tindakan Khalid mempersoalkan kuasa MAIS itu seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama Islam yang mendapat nasihat daripada pihak MAIS berkenaan agama Islam seperti mana termaktub di bawah undang-undang.

Baginda bertitah, ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan isu berkaitan kuasa eksekutif MAIS serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.

"Kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu beta dalam menjalankan kuasa beta sebagai ketua agama Islam di Selangor," titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 17 Jun lalu, Khalid dan beberapa pemimpin Pas Selangor mendesak MAIS tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu dengan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.

Khalid berkata, kajian semula enakmen itu adalah perlu berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.

Dalam titah ucapannya, Sultan Selangor turut meminta Khalid pada masa depan supaya lebih berwaspada di dalam mengeluarkan kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadab serta jahil apabila membicarakan isu berkaitan kuasa baginda selain peranan MAIS dalam menasihatkannya mengenai agama Islam.

"Khalid yang bukannya anak jati Selangor, namun berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil langkah untuk melengkapkan diri memahami sejarah negeri Selangor.

"(Dan) mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin dalam titahnya melahirkan rasa dukacita kerana terdapat dalam kalangan ahli politik dan golongan cerdik pandai beragama Islam sendiri tidak melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak tertentu.

"Sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat.

"Ada dalam kalangan mereka ini berani mempersoalkan kuasa institusi agama Islam seperti MAIS yang selama ini berperanan memastikan kesucian agama Islam dan urus tadbir hal ehwal agama Islam di Selangor ini," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor menegaskan MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain dalam mengamalkan ajaran mereka.

Titah baginda, MAIS sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa mengganggu penganut agama lain," titah baginda.

Sultan Selangor sekali lagi mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak menjadikan agama Islam sebagai modal politik.

"Kesucian agama Islam perlu sentiasa dipelihara. Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara," titah baginda.

Selain itu, baginda turut mengingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang untuk berpolitik dan juga tempatan mengadakan demonstrasi yang negatif baik di dalam mahupun di pekarangan masjid.

"Masjid dan surau adalah tempat umat Islam dan orang Melayu beribadat serta bertemu bagi mengeratkan silaturahim antara orang Melayu umat Islam," titah Sultan Sharafuddin.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140716/dn_01/Sultan-Sharafuddin-murka#ixzz37mLyGyrd  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: