Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 23 July 2014

MH17: Dua persetujuan dipenuhi

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak menerima panggilan daripada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan di pejabatnya di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. Dalam perbualan itu, Erdogan turut memberi sokongan kepada Malaysia dan melahirkan rasa simpati dengan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17. - BERNAMA

PUTRAJAYA 22 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan perkembangan terkini persetujuan yang dicapai antara kerajaan Malaysia dengan pemimpin-pemimpin yang berkuasa di kawasan nahas MH17 di timur Ukraine.

Menurutnya, dua daripada tiga perkara yang dipersetujui dengan Alexander Borodai yang berkuasa di kawasan nahas MH17 sudah dipenuhi.

"Kereta api yang membawa mayat mangsa MH17 sudah sampai di Kharkhiv, usaha akan dilakukan untuk memindahkan mereka ke Amsterdam, Belanda.

"Selain itu, pasukan Malaysia juga mengambil alih kotak hitam yang kelihatan dalam keadaan baik. Kotak hitam ini akan dijaga oleh Malaysia sementara sebuah pasukan antarabangsa ditubuhkan secara rasmi.

"Selepas itu, kita akan memindahkan kotak-kotak hitam kepada pasukan antarabangsa untuk tujuan siasatan dan analisis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib dalam sidang akhbar pada awal pagi mengumumkan persetujuan Borodai berhubung tiga perkara membabitkan pemulangan mayat-mayat tragedi MH17, pemindahan dua kotak hitam kepada pasukan Malaysia serta kemasukan tanpa sekatan ke kawasan nahas untuk melakukan siasatan.

Najib berkata, persetujuan yang dicapai dengan Borodai telah dihormati setakat ini dan beliau berharap kerjasama yang terbentuk akan berterusan untuk membolehkan penyiasat memasuki kawasan nahas tanpa sebarang sekatan.

"Saya berasa lega selepas berjaya mengatasi kebuntuan yang berlaku, ia membolehkan kita bergerak ke depan," katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun berdepan risiko tertentu bagi mencapai persetujuan dengan Borodai, namun pihaknya terpanggil untuk mencuba pelbagai pendekatan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku demi membolehkan mayat tragedi dan kotak hitam dipulangkan.

"Ini merupakan pendekatan luar biasa yang diambil dalam keadaan luar biasa.

"Selepas menemui ahli-ahli keluarga, saya berasa terpanggil untuk bertindak bagi pihak mereka," katanya.

Najib pada masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyokong pelbagai usaha yang dilakukan.

"Atas usaha mereka, kita semakin hampir dengan apa yang berlaku ke atas pesawat ini selain menunaikan tanggungjawab terhadap mereka yang sudah kehilangan nyawa," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140723/dn_03/MH17-Dua-persetujuan-dipenuhi#ixzz38GdOxvy0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: