PEMAIN Jerman Mario Goetze menjaringkan gol kemenangan menewaskan penjaga gol Argentina, Sergio Romero pada aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2014 di Stadium Maracana di Rio de Janeiro, semalam. - REUTERS
RIO DE JANEIRO - Joachim Loew mendedahkan bahawa dia memberitahu Mario Goetze agar membuktikan dirinya lebih baik berbanding Lionel Messi sebelum budak ajaib Jerman itu meledakkan gol kemenangan pada masa tambahan perlawanan akhir Piala Dunia semalam.
Goetze yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol memukau pada minit ke-113 untuk membantu Jerman menewaskan Argentina 1-0 di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.
"Saya beritahu Mario Goetze, masuk ke padang, dan buktikan kepada dunia awak lebih baik berbanding Messi. Goetze adalah budak ajaib, dia amat menakjubkan kerana berkebolehan beraksi dalam pelbagai posisi, dia juga merupakan pemain yang mampu membawa kelainan, dan telah membuktikan dengan apa yang dilakukannya hari ini (semalam)," kata Loew.
Jurulatih Jerman itu menikmati kemenangan bersejarah skuad bimbingannya yang turut mencatat rekod sebagai pasukan Eropah pertama berbuat demikian di benua Amerika Selatan. Kejayaan tersebut akhirnya dijelmakan selepas empat kali mencuba dalam pertandingan besar itu sejak 2006.
"Kami bersama selama 55 hari, kami telah memulakan projek ini sejak beberapa tahun lalu, dan kemenangan ini merupakan kemuncak kepada hasil kerja keras selama ini. Kami berjaya memperbaiki persembahan kami, dan yakin setelah bertungkus lumus melakukannya.
"Pasukan ini sememangnya layak untuk merangkul kejuaraan ini dengan adanya pemain-pemain seperti Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger, Lukas Podolski dan Per Mertesacker. Kami telah beberapa kali dikecewakan sebelum ini, walaupun kami mempamerkan permainan yang baik.
"Saya rasa kami telah memberikan aksi terbaik dalam kesemua tujuh perlawanan yang membabitkan kami di sini," kata Loew.
Loew berkata, kejayaan skuad bimbingannya dalam pertandingan itu adalah berkat semangat berpasukan yang ditunjukkan anak-anak buahnya.
"Pasukan ini telah menunjukkan semangat berpasukan yang luar biasa, dan kekuatan mental yang sangat hebat. Kami berbangga menjadi pasukan Eropah pertama memenangi gelaran di Amerika Selatan. Brazil merupakan negara yang amat gemarkan bola sepak, dan atas faktor itu membuat kami berasa amat bangga.
"Kejayaan ini memberikan kami satu kegembiraan yang berkekalan selama-lamanya, pasukan ini telah diterajui oleh pemain yang hebat seperti Bastian Schweinsteiger di posisi tengah dan Philipp Lahm," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140715/sl_03/Mario-Goetze-pemain-ajaib---Loew#ixzz37iIrBXGW © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment