Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin@utusan.com.my
JOKO Widodo
JAKARTA 22 Julai - Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla secara rasmi memenangi Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) Indonesia 2014 dengan menerima undian sebanyak 53.15 peratus.
Keputusan itu adalah hasil kiraan akhir yang diumumkan pada pukul 5.15 petang, hari ini merangkumi kesemua kertas undi di 33 wilayah di seluruh Indonesia.
Daripada jumlah tersebut, Jokowi-Jusuf memperolehi 70.6 juta undian berbanding pasangan lawan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa mendapat 62.2 juta undian atau 46.85 peratus.
Perbezaan undi antara kedua-dua pasangan itu ialah sebanyak 8.37 juta sementara jumlah kertas undi yang sah mengundi pada Pilpres 2014 yang berlangsung pada 9 Julai lalu ialah lebih 132.8 juta undi.
Sementara itu, Prabowo dan Hatta membuat kejutan menolak keputusan Pilpres 2014, tidak sampai dua jam sebelum keputusan rasmi diumumkan oleh KPU Indonesia, hari ini.
Jusuf Kalla
Prabowo yang juga pemimpin Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) mendakwa beliau dan pasangannya menolak keputusan itu kerana berlaku banyak penipuan pada hari pengundian.
Menurut Prabowo, beliau menyifatkan perjalanan Pilpres 2014 bertentangan dengan aturan undang-undang serta tidak demokratik.
Berikutan penolakan tersebut, saksi pasukan Prabowo-Hatta yang sedang meneliti proses kiraan akhir keputusan Pilpres 2014 di ibu pejabat KPU diarahkan meninggalkan sidang pleno serta-merta.
Keputusan mengejutkan itu diumumkan Prabowo di hadapan penyokong-penyokongnya serta dihadiri pemimpin-pemimpin pelbagai parti politik yang menyertai kerjasama dengan Gerindra pada Pilpres 2014.
Prabowo juga meluahkan kekecewaannya terhadap KPU penyenggara Pilpres 2014 yang disifatkan beliau sebagai tidak jujur, tidak adil, tidak terbuka serta mengabaikan laporan kecurangan Pilpres.
"Kami tidak bersedia mengorbankan mandat yang telah diberikan oleh rakyat dipermainkan dan diselewengkan. Kami, Prabowo-Hatta siap menang dan siap kalah dengan cara yang demokratis dan terhormat.
"Untuk itu, kepada seluruh rakyat Indonesia yang telah memilih, kami minta tetap bertenang kerana kami tidak akan diam. Hak demokrasi kita dicederai dan dirampas," kata Prabowo yang ditemani Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie, Ketua Umum Parti Pembangunan Persatuan, Suryadharma Ali dan pemimpin-pemimpin lain.
Kubu Prabowo-Hatta juga menolak apa sahaja keputusan Pilpres 2014 yang akan diumumkan KPU. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140723/lu_06/Jokowi-sah-Presiden-baharu-Indonesia#ixzz38GwZpxT4 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment