NICO Rosberg mengangkat tangan sebaik sahaja melintasi garisan penamat perlumbaan Formula Satu Grand Prix Jerman yang berlangsung di Litar Hockenheim semalam. - REUTERS
HOCKENHEIM, Jerman - Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton yang bermula di petak ke-20 mempamerkan aksi cemerlang apabila berupaya menamatkan perlumbaan Grand Prix Jerman di Hockenheim di tempat ketiga yang menyaksikan rakan sepasukannya Nico Rosberg memenangi saingan tersebut semalam.
Rosberg menamatkan saingan penuh debaran tersebut dengan masa satu jam 33 minit 42.914 saat manakala tempat kedua milik Valtteri Bottas dari pasukan Williams yang ketinggalan 20.789s manakala Hamilton di tempat ketiga, ketinggalan 22.530s.
"Ini adalah perlumbaan yang sungguh mencabar bagi saya biarpun beraksi di laman sendiri.
"Malah ini juga adalah hari yang sungguh istimewa buat saya kerana berjaya meraih kemenangan di hadapan peminat F1 Jerman," kata Rosberg.
Biarpun Rosberg mengungguli perlumbaan tersebut namun tumpuan terarah kepada Hamilton kerana kemahirannya mengendalikan jenteranya berjaya mencuri perhatian penonton.
Ini kerana sebelum perlumbaan bermula Hamilton dilihat seakan sukar untuk menaiki podium kerana dikenakan penalti yang menyebabkannya terpaksa bermula di petak ke-20.
Hamilton dikenakan penalti kerana menukar kotak gear selepas mengalami kemalangan sewaktu sesi kelayakan berlangsung.
Kejayaannya semalam membolehkan pendahulu kejuaraan pemandu, Rosberg memperoleh kelebihan 14 mata ke atas Hamilton yang ketika ini mengumpul 176 mata untuk mengekori di tempat kedua. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140721/sl_01/Hamilton-bayangi-kejayaan-Rosberg#ixzz384yFmGwm © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment