Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 18 July 2014

ATM lakar sejarah baharu risikan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

Abdul Hadi Hussin (duduk, kiri) dan Suhaimi Mohd. Zuki (duduk kanan) menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM sambil disaksikan oleh Nasaruddin Othman (berdiri, tiga dari kiri) pada Majlis Perbarisan Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM di Kolej Perisikan ATM Mentakab.

ANGKATAN Tentera Malaysia terus mengorak langkah ke hadapan dengan melakar sejarah dalam aspek risikan apabila Pusat Latihan Perisikan (Pularis) di Mentakab, Temerloh di Pahang secara rasmi dinaik taraf sebagai Kolej Perisikan ATM.

Majlis rasmi penyerapan Pularis sebagai Kolej Perisikan ulung negara itu dilakukan dalam penuh adat istiadat tentera yang dimulakan dengan perbarisan diikuti upacara menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM sebelum diakhiri dengan upacara menurunkan bendera Pularis dan menaikkan Bendera Kolej Perisikan ATM.

Upacara menandatangani Sijil Penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM di sempurnakan oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Hadi Hussin dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki sambil disaksikan oleh Ketua Staf Markas ATM, Laksamana Madya Datuk Nasaruddin Othman.

Menurut Nasaruddin, penyerapan Pularis adalah seiring dengan penstrukturan semula Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) ke-387 pada 29 Januari 2008.

“JPP yang bersidang pada 30 September 2013 telah meluluskan penyerapan Pularis ke dalam Kolej Perisikan ATM agar ia dapat terus beroperasi sebagai entiti yang terlaras dan tersusun serta bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan latihan perisikan peringkat ATM.

“Manakala Majlis Angkatan Tentera yang bersidang pada 6 Januari 2014 telah meluluskan penubuhan Kolej Perisikan ATM dan berikutan itu juga moto, logo dan bendera Kolej Perisikan ATM pula telah diluluskan pada 28 Mei lalu," katanya kepada MegaWira selepas majlis penyerapan itu baru-baru ini.

Mengimbas kembali sejarah penganjuran kursus-kursus perisikan dalam ATM, Nasaruddin berkata, ia bermula seawal 1957 di mana markas unit perisikan Kementah diketuai Kapten E.A Atkinson telah ditugaskan untuk merancang dan menganjurkan kursus-kursus perisikan asas dan keselamatan di kem IMPHAL.

Katanya, Markas Kor Risik kemudian menubuhkan sekolah perisikan Angkatan Tentera (SPAT) pada 3 Mac 1981 dan mula ditempatkan di deretan rumah kedai di Taman Melawati pada April 1982 sehinggalah pada Januari 1983.

“SPAT kemudian telah berpindah ke kem Sungai Buloh pada 2 November 1988 bagi mengatasi masalah penginapan dan bilik kuliah berikutan jumlah kursus yang semakin bertambah.

“SPAT telah didesignasikan semula sebagai Sekolah Perisikan (SP) sehinggalah ia ditukarkan kepada Pusat Latihan Risikan pada 1994, sejajar dengan pertukaran nama pusat-pusat Latihan Tentera Darat," katanya.

Beliau memberitahu, setelah 27 tahun berada di kem Sungai Buloh, Pularis yang telah melatih bukan sahaja warga ATM, malah warga kementerian lain dan agensi keselamatan di dalam dan juga luar negara kini mempunyai kompleksnya sendiri di Kem Mentakab yang mula beroperasi pada 1 Januari 2010.

Dalam pada itu, Nasarudin berkata, penubuhan Kolej Perisikan ATM itu membuka lembaran baharu dalam kelangsungan usaha-usaha membentuk kepelbagaian kepakaran modal insan dalam semua bidang perisikan yang berorientasikan kebersamaan melibatkan ketiga-tiga cabang ATM.

Justeru katanya, kolej perisikan yang akan ditadbir oleh seorang kolonel akan terus menganjurkan pelbagai kursus risikan yang sesuai dan terkini.

Selain itu katanya, kolej tersebut juga akan menjalinkan kerjasama dengan pusat-pusat dan agensi latihan risikan antarabangsa bagi menganjurkan kursus-kursus kepakaran.

“Ini penting dalam usaha membentuk tenaga kerja yang profesional, responsif, dinamik dan mampu mengoptimumkan teknologi terkini dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Jadi adalah diharapkan operator-operator perisikan yang dilatih akan mampu berhadapan dengan senario ancaman yang kompleks dan mencabar selaras dengan perkembangan teknologi semasa," katanya.

Jelas beliau, keupayaan pemantauan perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa masa hadapan merangkumi semua persekitaran dan spektrum ancaman.

Dalam pada itu, Jurulatih Kolej Perisikan ATM, Mejar Janie Ratib berkata, penyerapan Pularis kepada Kolej Perisikan amat bertepatan, selaras dengan peranan besar kolej berkenaan dalam aspek keselamatan negara.

Katanya, aspek pengajaran dan pembelajaran di kolej berkenaan sentiasa ditambah baik bersesuaian dengan keperluan terkini bagi memastikan ia terus relevan.

“Aspek pengajaran di sini adalah menyeluruh melibatkan pelbagai kaedah pengajaran termasuklah latihan fizikal dan ketahanan mental yang amat penting," katanya yang mengajar dalam kursus risik tempur.

Sementara itu, seorang pelatih, Kapten Azim Hazwan Shamsudin berkata, kursus di kolej itu memberi banyak pendedahan baharu yang penting kepadanya untuk kembali menjalankan tugas.

Menurutnya, selain pengetahuan khususnya mengenai risikan ia juga dapat menguatkan ketahanan mental dan fizikal pelatih yang mengikuti kursus di kolej berkenaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20140716/te_01/ATM-lakar-sejarah-baharu-risikan#ixzz37mkmEVC6  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: