Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my
MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan para pelajar Madrasah Thafiz Fath, Kundang Ulu semasa tiba pada Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran Dan Berbuka PUasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Paya Panjang dekat Bukit Pasir, Muar, Johor, semalam. - MINGGUAN/Ishak Rahmad
PAGOH 19 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan menembak jatuh pesawat MH17 sehingga mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal adalah satu perbuatan yang tidak dapat dimaafkan.
Beliau menegaskan, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk perbuatan laknat serta berniat jahat tersebut dan Malaysia menjadi mangsa konflik di wilayah pergolakan antara Rusia dan Ukraine.
"Pesawat kita tidak bersalah, kita negara aman damai, tidak ada perselisihan faham dengan mana-mana masyarakat antarabangsa. Kita amalkan dasar dan hubungan baik, siapa sahaja kita buat baik walaupun tahu sebenarnya (negara itu) ada niat jahat.
"Rusia kata Ukraine dan mereka tuduh-menuduh tetapi kita yang menjadi mangsa (sedangkan) kita tidak tahu pun apa berlaku di sana. Belum habis cerita MH370, lepas tu satu lagi (tragedi MH17)," katanya berucap dalam Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran dan berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Paya Panjang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Saharudin Md. Salleh; ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Noriah Mahat; Ketua Puteri UMNO Pagoh, Rohaizah Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Zaid Abd. Rahman.
Katanya, Malaysia berharap satu siasatan dilakukan badan berwibawa dan tidak terikat dengan mana-mana pihak ditubuhkan segera dan diputuskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malaysia, katanya, tidak akan menerima apa-apa alasan dan mahu mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan setimpal dan majlis keselamatan itu yang turut mengutuk keras perbuatan tersebut perlu menyiasat perkara yang sebenarnya berlaku.
"Pasti ada pihak bertanggungjawab dan dia akan dibawa ke muka pengadilan antarabangsa kerana ini adalah satu jenayah pada zaman tidak perang ini. Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana laluan itu adalah laluan utama ke Malaysia dari Belanda dan digunakan banyak pihak," ujarnya.
Semasa berjumpa keluarga mangsa di Hotel JW Marriot di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam, Muhyiddin berkata, mereka melahirkan harapan supaya dapat mencari mayat atau apa sahaja barangan peninggalan mangsa.
Tambahnya, menurut keluarga mangsa, apabila mendapat mayat atau barangan itu sebagai bukti baharu mereka boleh terima kenyataan namun usaha itu sedikit sukar kerana pesawat terhempas di kawasan bergolak dan pelbagai pasukan yang dihantar kerajaan ke situ tidak diberikan kebebasan sepenuhnya.
"Sekiranya diberikan kebebasan untuk menjalankan tugas, pasukan boleh mencari sebarang bahan termasuk debu untuk menjalani ujian DNA (Asid Deoksiribonukliek) dan ini boleh kenal pasti identiti mangsa," katanya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyatakan rasa terkejut apabila salah seorang mangsa nahas tersebut, Mohd. Ali Md. Salim, 30, adalah dari daerah ini dan sempat bertemu ahli keluarganya semalam.
"Saya berjumpa keluarga Mohd. Ali dan sempat melihat rakaman video terakhir Allahyarham dalam pesawat sebelum berlepas. Saya diberitahu pernah berjumpa dengannya semasa bertemu pelajar Malaysia di Belanda pada Mac lalu," katanya.
Pada majlis berkenaan, Muhyiddin menerima cek bernilai RM30,000 disampaikan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sapura, Mohd. Zarif Hashim.
Selain itu, dalam majlis yang dihadiri 114 anak yatim dan 114 golongan miskin itu, UMNO Bahagian Pagoh menyampaikan sumbangan dan wang itu diagihkan kepada golongan asnaf dan anak yatim di sekitar Pagoh.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140720/dn_02/Tidak-boleh-dimaafkan#ixzz384Ig0qjT © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment