Pesawat Malaysia Airlines dipercayai ditembak di Ukraine
MOSCOW 17 Julai - Pesawat Malaysia Airlines MH17 yang membawa 295 penumpang beserta anak kapal yang dilaporkan terhempas di Ukraine dekat sempadan Rusia, dipercayai ditembak oleh peluru berpandu.
Menurut laporan agensi-agensi berita, pesawat Boeing 777-200 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila nahas itu berlaku.
Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Herashchenko dalam Facebooknya berkata, pesawat itu dipercayai ditembak ketika terbang pada ketinggian 10,000 meter. di ruang udara negara itu.
Malaysia Airlines dalam Twitter mengesahkan kali terakhir pesawatnya MH17 dari Amsterdam itu dapat dikesan ketika ia berada di ruang udara Ukraine. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140718/lu_01/Pesawat-Malaysia-Airlines-dipercayai-ditembak-di-Ukraine#ixzz37m41npzJ © Utusan Melayu (M) Bhd
Presiden Ukraine nafi tenteranya tembak mana-mana pesawat hari ini
KIEV (Ukraine) 18 Julai - Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menyatakan pihak tentera negaranya tidak menembak sebarang sasaran di udara selepas pesawat Malaysia Airlines dilaporkan terhempas di sempadan negaranya dengan Rusia semalam.
"Kami tidak menafikan kemungkinan pesawat itu ditembak jatuh dan kami ingin menekankan yang Pasukan Tentera Ukraine tidak mengambil sebarang tindakan ke atas mana-mana sasaran udara.
"Kami yakin pihak yang bersalah dalam tragedi itu akan dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka," katanya seperti dilaporkan agensi media antarabangsa hari ini.
Seorang pegawai Ukraine sebelum ini menyatakan pesawat dengan 295 penumpang dan krew itu dipercayai ditembak oleh peluru berpandu di sebuah bandar di timur negara itu.
Malaysia Airlines turut mengesahkan mengenai kehilangan pesawat MH17 dari Amsterdam tersebut selepas ia berlepas pada pukul 12.15 tengahari (GMT).
Penasihat kepada menteri dalam negeri, Anton Gerashenko dalam facebooknya berkata, pesawat itu dipercayai ditembak dari pelancar Buk ketika ia sedang terbang pada ketinggian 10,000 meter. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140718/lu_02/Presiden-Ukraine-nafi-tenteranya-tembak-mana-mana-pesawat-hari-ini#ixzz37m4KMHoE N© Utusan Melayu (M) Bhd
Pemimpin dunia bersimpati insiden pesawat MH17 terhempas
MOSCOW 18 Julai - Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan simpati dan mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung insiden pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine dan berhampiran sempandan negaranya.
Menurut laman web Kremlin, beliau telah "meminta supaya kerajaannya menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan sokongan kepada keluarga dan juga mereka yang mempunyai pertalian dengan mangsa kejadian,"
Pesawat Malaysia Airlines MH17 yang membawa 295 penumpang beserta anak kapal yang dilaporkan terhempas di Ukraine dipercayai ditembak oleh peluru berpandu pada pukul 2.15 petang (GMT) selepas berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 petang (GMT).
Sementara itu, Presiden Barack Obama menyatakan Ameria Syarikat (AS) sedia menawarkan sebarang bantuan berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines itu dan sedang menghubungi pihak Ukraine bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Kami juga sedang menyemak sama ada terdapat rakyat AS yang terlibat kejadian itu," katanya yang dipetik dalam siaran televisyen BBC yang disiarkan secara langsung malam ini. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140718/lu_03/Pemimpin-dunia-bersimpati-insiden-pesawat-MH17-terhempas#ixzz37m4wKALO © Utusan Melayu (M) Bhd
ICAO pantau laporan nahas MH17
KUALA LUMPUR 18 Julai - Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) merakamkan rasa sedih dan kesal atas kehilangan nyawa penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysian Airlines (MAS) MH17.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawangnya, ICAO berkata, pihaknya sedang memantau laporan-laporan berhubung tragedi tersebut dan sedang menyelaras dengan semua pihak yang relevan.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, pesawat yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia hari ini.
Menurut laporan itu, kesemua penumpang dan anak kapal itu dipercayai terbunuh.
Pesawat jenis Boeing 777-200 itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan semalam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi ini.-- BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140718/lu_11/ICAO-pantau-laporan-nahas-MH17#ixzz37m5fJN75 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment