Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
LIBYAN ARAB AIRLINES
Khamis lalu, bukan hanya seluruh negara, tetapi seluruh dunia digemparkan dengan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas berhampiran kampung Snezhnoe, kira-kira 80 kilometer dari Donetsk, Ukraine, menyebabkan kesemua 280 penumpang dan 15 anak kapal terbunuh.
Apatah lagi, kejadian itu berlaku 132 hari selepas tragedi kehilangan pesawat MAS MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu.
Dalam kejadian 17 Julai lalu, pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak dengan peluru berpandu yang dilancarkan daripada pelancar Buk semasa terbang pada ketinggian 10,000 meter di ruang udara Ukraine kira-kira 50 kilometer dari sempadan Ukraine-Rusia.
Pesawat MH17 berkenaan berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengahari (waktu Amsterdam) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi keesokannya (waktu Malaysia).
MH17 bukan pesawat komersial pertama ditembak jatuh di Ukraine. Sebuah pesawat penumpang Rusia pernah ditembak jatuh 13 tahun lalu, iaitu pada 2001. Tentera Ukraine yang sedang mengadakan latihan ketenteraan di Crimea secara tidak sengaja tertembak pesawat membawa 78 orang penumpang yang dalam perjalanan dari Israel ke Novosibirsk, Rusia.
Dalam sejarah penerbangan, lebih kurang 22 pesawat komersial telah ditembak jatuh sama ada secara sengaja atau tidak sengaja sejak 1940-an. Pancarwarna minggu ini mengetengahkan beberapa tragedi yang melibatkan sejumlah besar kematian penumpang.
1950-an EL AL Penerbangan 402
Pada 27 Julai 1955, sebuah pesawat EL AL Penerbangan 402 yang dalam perjalanan London - Tel Aviv melalui Vienna, Austria dipintas dan ditembak jatuh oleh dua jet pejuang MiG-15 milik Bulgaria menyebabkan kesemua tujuh anak kapal dan 51 penumpang terbunuh.
Pesawat EL AL itu ditembak jatuh selepas enggan mendarat setelah menyimpang dari laluannya dan memasuki ruang udara Bulgaria. Pesawat itu dikatakan secara tidak sengaja memasuki ruang udara Bulgaria kerana berhadapan beberapa aktiviti ribut petir dalam perjalanannya ke Israel.
1970-an Libyan Arab Airlines Penerbangan 114
PENERBANGAN 114 merupakan penerbangan dari Tripoli, Libya melalui Benghazi ke Kaherah, Mesir. Pada 21 Februari 1973, pesawat Boeing 727 itu berlepas dari Tripoli tetapi tersesat selepas berhadapan dengan masalah cuaca buruk dan peralatannya tidak berfungsi di utara Mesir.
Pesawat itu secara tidak sengaja memasuki ruang udara di Semenanjung Sinai yang dikawal oleh Israel. Dua jet pejuang F-4 Phantom II milik Israel kemudian memintas pesawat dan menembak jatuh pesawat itu selepas enggan mengikut arahan mendaratkannya.
Daripada kesemua 113 orang dalam pesawat, lima termasuk pembantu juruterbang pesawat itu terselamat dalam insiden berkenaan.
1970-an Air Rhodesia Penerbangan RH825 & RH827
Pesawat Air Rhodesia Penerbangan RH825 terbang dari Kariba dan Salisbury, Rhodesia (sekarang Harare, Zimbabwe). Pesawat itu ditembak jatuh pada 3 September 1978 oleh gerila Tentera Revolusi Rakyat Zimbabwe (ZIPRA) menggunakan peluru berpandu Strela 2. Sebanyak 18 orang daripada 56 penumpang pesawat tersebut terselamat ketika pesawat itu terhempas tetapi 10 orang yang terselamat dibunuh oleh ZIPRA di tapak nahas.
Kesemua 59 penumpang pesawat MH827 yang terbang antara Kariba - Salisbury terbunuh selepas pesawat itu ditembak jatuh pada 12 Februari 1979 oleh gerila ZIPRA menggunakan peluru berpandu Strela 2. Kejadian ini hampir serupa dengan insiden melibatkan penerbangan RH825.
1980-an Aeroline Itavia Penerbangan 870
Pesawat Aeroline Itavia Penerbangan 870 terhempas di Laut Tyrrhenian pada 27 Jun 1980 selepas 40 minit berlepas dari Bologna, Itali. Kesemua 81 penumpang termasuk empat anak kapal terbunuh dalam nahas itu.
Sebelum hilang dari radar, sebuah objek tidak dikenali dilihat menghampiri pesawat tersebut. Walaupun punca kejadian masih tidak diketahui, pesawat itu dipercayai ditembak oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau jet pejuang. Perdana Menteri Itali pada masa itu, Francesco Cossiga mendakwa pesawat itu ditembak oleh jet pejuang tentera Perancis yang menyertai operasi NATO.
Pada 23 Januari 2013, mahkamah jenayah Itali memutuskan bahawa terdapat bukti yang amat jelas bahawa Aeroline Itavia Penerbangan 870 ditembak jatuh oleh peluru berpandu.
Iran Air Penerbangan 655 (IR655)
IR655 yang dikendalikan oleh Iran Air terbang dari Bandar Abbas, Iran ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Pada 3 Julai 1988 ketika Perang Iran-Iraq akan berakhir, pesawat IR655 ditembak jatuh oleh peluru berpandu SM-2MR yang dilancarkan dari kapal perang tentera laut AS, USS Vincennes.
Pesawat tersebut meletup di antara bandar Abbas dengan Dubai. Tidak seorang pun daripada 290 penumpang dan anak kapal pesawat itu terselamat. Kerajaan AS kemudian mendakwa USS Vincennes menyerang IR655 kerana menyangkakan pesawat Airbus A300 itu jet pejuang F-14 Iran.
1990-an Tragedi Transair Georgian Airline
Sebanyak tiga pesawat komersial Transair Georgian Airline menjadi sasaran serangan pada September 1993. Dalam kejadian pertama pada 21 September, pesawat Tu-134 dari Sochi terkena tembakan peluru berpandu permukaan ke udara ketika menghampiri Lapangan Terbang Sukhumi-Babusheri. Kesemua 22 penumpang dan lima anak kapal pesawat itu terkorban.
Pada 22 September 1993, sebuah lagi pesawat, Tu-154 dalam perjalanan dari Tbilisi ditembak jatuh ketika cuba mendarat di lapangan terbang Sukhumi dan terhempas di landasan. Kejadian itu menyebabkan 108 daripada 132 orang yang berada di dalam pesawat itu terbunuh. Keesokannya, sebuah lagi pesawat syarikat penerbangan itu ditembak ketika penumpang sedang memasuki pesawat di lapangan terbang Sukhumi menyebabkan pesawat terbakar hangus dan seorang anak kapal terbunuh.
Lionair Penerbangan LN602
Pada 29 September 1998, pesawat Lionair Penerbangan LN602 terhempas secara misteri ke dalam laut di luar pantai barat Sri Lanka. Kesemua 48 penumpang dan tujuh anak kapal pesawat itu maut.
Pesawat yang dalam perjalanan ke Colombo berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Jaffna-Palaly, hilang daripada radar sejurus selepas juruterbang melaporkan situasi susut tekanan. Laporan awal mempercayai pesawat itu telah ditembak jatuh oleh pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
2000-an Siberia Airlines
Pada 4 Oktober 2001, kesemua 78 penumpang dan anak kapal pesawat Siberia Airlines dalam perjalanan dari Tel Aviv, Israel ke Novosibirsk, Rusia terbunuh apabila pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu tentera Ukraine ketika melalui Laut Hitam.
Walaupun pada mulanya Ukraine tidak mengaku bertanggungjawab, Presiden Ukraine pada masa itu, Leonid Kuchma akhirnya mengaku negaranya bersalah selepas tekanan daripada pasukan penyiasat Rusia.
Nahas Balad 2007
Pada 9 Januari 2007, pesawat Antonov An-26 terhempas ketika cuba mendarat di Pangkalan Udara Balad, Iraq. Saksi mendakwa mereka nampak pesawat tersebut ditembak jatuh dan kumpulan pengganas mengaku bertanggungjawab atas insiden itu. Sebanyak 34 daripada 35 penumpang awam dalam pesawat tersebut terbunuh.
2014 MAS Penerbangan MH17
Pada 17 Julai 2014, pesawat MAS MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur terhempas berhampiran Donetsk di timur Ukraine. Kesemua 280 penumpang dan 15 anak kapal pesawat itu terkorban apabila pesawat tersebut terhempas dari altitud 10 kilometer. Pesawat tersebut dipercayai ditembak dengan peluru berpandu daripada pelancar Buk.
Ketiga-tiga pihak yang terlibat dalam konflik di Ukraine iaitu Ukraine, Rusia mempunyai pelancar Buk, namun tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab, sebaliknya saling menuduh antara satu sama lain.
MH17 bukan pesawat komersial pertama ditembak jatuh di Ukraine. Sebuah pesawat penumpang Rusia pernah ditembak jatuh 13 tahun lalu, iaitu pada 2001...
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140720/re_14/Pembunuhan-di-udara#ixzz384eIJxwS © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment